Theme Selection : blue theme red theme green theme


Print

JHEV sampai sumbangan kepada anak bekas tentera

Posted in Current News

sumbangan anak bekas tentera

Mohd. Noor Daud mengusap kepala Ahmad Kashful Hadi Norhairy yang cedera dalam kemalangan yang meragut nyawa ibu bapa dan dua adik-beradiknya semasa lawatan JHEV ke rumah keluarga Allahyarham Norhairy Ahmad di Kampung Hilir, Kepala Batas, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Safrizal Azmi

 

KUBANG PASU 7 Jan. - Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM (YVATM) bernilai RM6,000 kepada tiga anak bekas tentera yang maut dalam satu kemalangan di Kilometer 451.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, 30 Disember lalu.

Allahyarham Norhairy Ahmad, 42, pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia berpangkat sarjan selama 18 tahun manakala isterinya yang turut maut dalam kemalangan itu, Rohayati Osman, 42, bekerja sebagai guru agama di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Turut terkorban dalam kemalangan tersebut ialah anak sulung pasangan itu, Adibah, 17, manakala anak bongsu, Athirotul Huda, 6, yang koma meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 4 Januari lalu.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud kepada bapa Norhairy, Ahmad Abu Bakar, 70, yang kini menjaga tiga lagi anak Allahyarham iaitu Afifa, 17; Ahmad Athirul Hadi Khairi, 13, dan Ahmad Kashful Hadi, 11.

Mohd. Noor berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga berkenaan terutama selepas kematian Norhairy dan Rohayati dalam kemalangan tersebut.

"Kami berharap tiga beradik ini akan terus cekal dan tabah dalam menjalani hidup dan sumbangan ini diharap dapat memberi sedikit kekuatan kepada mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Hilir, Kepala Batas di sini hari ini.

Anak kedua pasangan tersebut, Afifa berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada JHEV kerana membantu dan sehingga hari ini ketiga-tiga masih merindukan arwah ibu ayah, kakak dan adik bongsu, namun mereka reda dengan ketentuan takdir.

"Kami sekarang menumpang kasih dengan datuk dan nenek di sini. Kami adik-beradik sudah bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh seperti yang selalu dipesan arwah ibu dan ayah.

"Kami tidak mahu menyusahkan datuk dan nenek, kami mahu buat yang terbaik dalam hidup dan menyenangkan hidup mereka pada masa depan," jelasnya.

Afifa kini belajar di tingkatan lima di Maktab Mahmud, Alor Setar; Ahmad Athirul Hadi Khairi (tingkatan satu di Sekolah Menengah Agama Darussaadah) manakala Ahmad Kashful Hadi (tahun lima di Sekolah Kebangsaan Kepala Batas).

Sumber : Utusan Melayu