Logo JHEV

KOTA KINABALU, 11 April 2014 - Seramai 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) direkodkan sebagai penerima bantuan sara hidup di negeri Sabah.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud bagaimanapun berkata, jumlah terbabit dilihat masih kecil memandangkan pendaftaran ahli veteran di Sabah mencecah 4,500 orang.

"Sehubungan itu, kita minta kepada mereka yang sudah berdaftar dan dikenalpasti sebagai layak menerima bantuan itu untuk tampil segera.

"Anda boleh berbuat demikian di mana-mana pejabat JHEV di sini dengan minimum sebanyak RM100 hingga RM300 sebulan mengkikut kelayakan masing-masing," katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut mempertimbangkan untuk menambah Pusat Sehenti bagi JHEV di seluruh negara termasuk di Sabahdalam usaha mempermudahkan urusan para anggota veteran berhubung hal ehwal pentadbiran jabatan berkenaan.

"Untuk rekod, kita mempunyai sebanyak 31 Pusat Sehenti JHEV di seluruh negara termasuk dua di Sabah iaitu di tawau dan Sandakan.

"Pada tahun ini, kita akan mempertimbangkan bagi penambahan Pusat Sehenti terbabit termasuklah di lokasi-lokasi bersesuaian di negeri Sabah,"katanya.

Mohd Noor berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada seramai 30 penerima terdiri daripada veteran ATM Sabah di Wisma Muis, di sini kelmarin.

Penyampaian pingat berkenaan berdasarkan jasa anggota veteran yang pernah berkhidmat menentang komunis pada tahun 1969 hingga 1989. Majlis terbabit utrut menyaksikan penyerahan kunci rumah kepada salah seorang veteran tenteradi bawah program Strategi Lautan Biru Baharu atau New Blue Ocean Strategy (NBOS).

Untuk rekod, sebanyak 17 buah rumah baru dibina dan enam buah rumah dibaikpulih siap dilaksanakan pada 2013 yang akan diagihkan kepada penerima yang layak pada tahun ini.