Sandakan, 8 Feb - Tiga belas rumah berjaya dibina oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk keperluan golongan veteran ATM yang layak menerusi program Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Dato’ Wira Haji Mohd Noor Haji Daud, jumlah itu antara 230-buah rumah yang siap dibina di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Pihaknya turut membaik pulih 10-buah rumah veteran ATM seluruh Sabah tahun lepas. Beliau menyatakan perkara itu selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Menerusi Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan dan Penyampaian Pingat Jasa Malaysia di Sandakan.

Bagi tahun ini, pihaknya menyasarkan 200-buah rumah dibina dan dibaikpulih di seluruh negara. Usaha tersebut akan diteruskan bagi membantu kira-kira 4-ribu 500 veteran ATM yang berdaftar dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia.