Logo JHEV

 

KEMAMAN 16 Nov. – Bagi me­ngenang jasa dan pengorbanan besar anggota keselamatan mem­pertahankan negara, seramai 20 pesara tentera di sekitar daerah ini menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam satu majlis di sini semalam.

 

Majlis penyampaian dan pe­­­makaian pingat itu disem­pur­nakan oleh Menteri Ko­munikasi dan Multimedia yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery dalam uca­pannya melahirkan peng­hargaan kepada Persatuan Veteran Ang­katan Tentera Malaysia (PV-ATM) kerana tanpa pengorbanan anggota tentera dalam menjaga keamanan, segala pembangunan tidak mungkin dapat dikecapi seperti sekarang.

“Walaupun kita tidak bermusuh dengan mana-mana negara di rantau ini tetapi kita tetap memperkukuhkan pertahanan negara dan sentiasa bersedia untuk menghadapinya.

“Kita semua tahu, ancaman hari ini bukanlah seperti zaman darurat atau zaman konfrontasi dulu sebaliknya ancaman hari ini terjadi dalam pelbagai bentuk. Semua ini dapat ditangani kerana kita ada pasukan keselamatan seperti polis dan juga sistem keselamatan yang diterajui ang­gota tentera,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, be­liau mempunyai hubungan rapat dengan pasukan tentera sejak dahulu dan mengadakan perjumpaan dua kali setahun bagi membincangkan isu-isu semasa.

Sementara itu, Ketua PV-ATM Cawangan Kemaman, Da­tuk Mohamed Awang dalam ucapannya berkata, PJM yang mula diperkenalkan kerajaan pa­da tahun 2005 hanya dianu­gerahkan kepada mereka yang bertugas di zaman darurat dari tahun 1957 hingga 1986 dan 1969 hingga 1990.

Pada majlis tersebut, PVATM menerima sumbangan sebanyak RM32,410.10 untuk Tabung Pah­lawan 2014 peringkat daerah Ke­maman.

Sumber : Utusan Malaysia