KUALA LUMPUR, 13 Mac - Sebanyak 2,229 veteran Angkatan Tentera Malaysia(ATM) telah dilatih oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) untuk menjadi usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahman Bakri berkata, daripada jumlah itu, 1,226 orang dilatih dalam bidang IKS dan 1,003 orang dalam bidang peruncitan.

"Mengikut pemantauan Perhebat, sejumlah 30 peratus daripada mereka telah menceburi bidang perniagaan.

"Dengan peruntukan khas sebanyak RM50 juta yang diluluskan Perdana Menteri pada 2012, Perhebat sedang melaksanakan pembangunan usahawan baru dalam kalangan veteran ATM tidak berpencen dan menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 usahawan dapat dilahirkan,"katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Anuar Abd. Manap (BN-Sekijang) yang ingin tahu usaha kementerian bagi melahirkan usahawan dan pengusaha IKS dalam kalangan pesara.