PAPAR - Sebanyak 25 anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Papar yang telah berjasa kepada negara dengan menentang pihak komunis di zaman darurat dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Pingat disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud.

"Mereka yang berkhidmat dalam jangka masa tersebut layak menerima pingat, tidak kira dari angkatan tentera laut, udara dan wataniah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-25 Persatuan Veteran ATM Cawangan Papar.

Beliau berkata pingat itu merupakan pengiktirafan daripada kerajaan kepada anggota tentera sama ada lelaki atau wanita yang terlibat dalam operasi menentang komunis.

Katanya kerajaan mewujudkan pingat itu untuk mengiktiraf keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan khidmat bakti cemerlang bekas anggota tentera dalam menjalankan kewajipan mereka kepada negara.

 

Sumber: Bernama