PEKAN 18 Sept. - Sebanyak 27 buah rumah di negeri ini telah dibina baharu dan dibaik pulih oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sejak program itu dilaksanakan bermula 2012 sehingga kini.

 

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud berkata, daripada jumlah itu, 14 rumah dibina baharu manakala 13 lagi dibaik pulih.

"Kita jangka jumlah ini pasti meningkat kerana permohonan yang kita terima untuk membina dan membaik pulih rumah menerusi program ini begitu tinggi.

"Cuma apa yang kita harapkan setiap pemohon supaya bersabar menunggu giliran," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Veteran ATM di bawah program berkenaan di Felcra Sri Makmur di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah JHEV ATM negeri, Mejar Mohamad Rozali Abd. Rahman.

Pada majlis berkenaan, tiga veteran dari daerah ini menerima rumah berkenaan.

Mohd. Noor berkata, program itu merupakan usaha berterusan JHEV membantu meningkatkan taraf kehidupan bekas anggota yang benar-benar memerlukan bantuan terutama mereka yang daif dan tidak memiliki rumah sendiri.

Sementara itu, seorang veteran ATM yang menerima rumah berkenaan, Abu Had Jaafar, 52, berkata, dia dan isteri, Zairani Ismail, 48, syukur apabila terpilih menerima sebuah rumah di bawah program tersebut.

"Sebelum ini saya dan isteri menyewa sebuah rumah di sini, apabila mendapat tahu program yang dilaksanakan JHEV, saya membuat permohonan dan diluluskan.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan terhadap pengiktirafan ini kerana membela nasib dan kebajikan pesara serta veteran yang telah tamat perkhidmatan dalam ATM," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia