TAIPING - Sejumlah 284 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat antara 1969 hingga 1989 menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai penghargaan terhadap sumbangan serta pengorbanan mereka menentang musuh dan memelihara keamanan negara.

Majlis penganugerahan disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) ATM Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud.

Penerima pingat berkenaan terdiri daripada veteran dari daerah Larut, Matang dan Selama serta Kerian.

Pingat tersebut diwujudkan pada 2004 bagi mengiktiraf keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dipamer oleh setiap lapisan anggota ketiga-tiga perkhidmatan ATM semasa menghadapi zaman darurat.

Pingat Jasa Malaysia dimartabatkan sebagai pingat terkanan dan kekananan susunan berbanding anugerah yang sama taraf dengannya.

Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Mohd Noor berkata setakat Jun tahun ini, 2,050 veteran tentera menerima pingat berkenaan di seluruh negara.

"Ia merupakan satu pengiktirafan daripada Kerajaan Persekutuan kepada veteran tentera yang terlibat menentang pengganas komunis," katanya.

Mohd Noor berkata veteran tentera berkenaan telah mencurah bakti dengan penuh dedikasi kepada negara dan sewajarnya mereka diberi penghargaan sedemikian.

Beliau berharap penganugerahan itu akan memberi semangat kepada generasi muda untuk sama-sama berbakti dan mempertahankan negara.

 

Sumber :  BERNAMA