MELAKA 27 Jan - Seramai 3,000 pesara tentera tidak berpencen di negeri ini tidak dipinggirkan oleh kerajaan apabila masing-masing menerima Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) sebanyak RM1,000 sekali gus setiap seorang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM3 juta itu membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan keseluruhan rakyat negara ini.

Menurutnya, biarpun golongan berkenaan hanya berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kurang daripada 21 tahun yang tidak melayakkan mereka menerima pencen, namun kerajaan tetap menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Katanya, pemberian SVTB1M sebanyak RM1,000 kepada veteran tentera tidak berpencen itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2013 pada Oktober lalu.

“Kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan tentera. Ini kerana mereka telah banyak memberi sumbangan dan berkorban mempertahankan tanah air ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pemberian SVTB1M peringkat pertama kepada 1,500 pesara tentera di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad, Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) negeri, Datuk Mohamad Fazil Shafie, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa SVTB1M Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Rohisha Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Ab. Karim Sulaiman.

Sementara itu, Rohisha ketika ditemui pemberita berkata, setakat ini, 80,000 daripada 234,000 pesara tentera tidak berpencen di seluruh negara telah menerima SVTB1M.