LAHAD DATU - Seramai 40 warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk empat balu, telah diraikan dalam satu majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan majlis Dialog yang diadakan bertempat di Dewan Perdana, Lahad Datu, baru-baru ini.

 

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteren ATM, Mejar Jeneral Dato’ Wira Mohd Noor Daud dalam ucapannya berkata, kerajaan Malaysia sememangnya sentiasa mengiktiraf dan memandang veteran ATMsebagai pejuang Negara, yang mana jasa-jasa mereka akan sentiasa dikenang.

Ini kerana katanya, tanpa perjuangan dan pengorbanan para veteran maka sudah tentu Negara tidak mencapai kemerdekaan, keharmonian, kemakmuran dan kestabilan yang ada sekarang.

Oleh itu katanya, diantara pengiktirafan yang telah diberikan oleh kerajaan salah satunya ialah penganugerahan Pingat Jasa Malaysia.

“ PJM ini merupakan satu empire medal yang telah disediakan pada tanggal 3 Mac 2004 dan dianugerahkan kepada warga ATM yang telah berkhidmat dalam tempoh 1 Januari 1969 sehingga 2 Disember 1989 semasa operasi menentang pengganas komunis Malaya.

“Dan, pada hari ini, saya begitu rasa amat berbangga sekali kerana di beri penghormatan untuk menyematkan pingat PJM di dada para veteran yang telah bersama-sama terlibat dalam kempen menentang pengganas komunis suatu ketika dahulu.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua veteran ATM dan juga kepada veteran yang menerima pingat pada hari ini,” katanya.

Menurut Mohd Noor, berdasarkan statistik JHEV ATM sehingga ke hari ini, sebanyak 17 ribu pingat PJM telah dianugerahkan kepada para veteran ATM diseluruh Malaysia.

Sementara itu jelas beliau, pelbagai skim bantuan juga telah disediakan oleh kerajaan yang disalurkan melalui JHEV ATM kepada veteran yang layak antaranya seperti bantuan sara hidup, peralatan pesakit serta ubat-ubatan, kemasukan anak ke IPTA / Politeknik, bantuan persekolahan, bencana alam dan penjodohan pekerjaan, bantuan rawatan dialysis dan pengurusan jenazah.

Manakala jelasnya, bagi dialog-dialog yang telah dibuat dengan dengan persatuan dan juga sesi perbincangan meja bulat yang telah dianjurkan oleh persatuan veteran ATM pada tahun ini, JHEV telah mengenal pasti 10 isu-isu veteran dan akan dikaji dengan mendalam dan rumusannya akan dimajukan kepada pihak atasan untuk mendapat kelulusan.

”Antara isu-isu tersebut adalah veteran tidak mempunyai rumah sendiri, permohonan kenaikan bantuan sara hidup bulan, pemberian bantuan khas (one –off) pemberian sara hidup bulanan, bantuan kemasukan anak ke IPT/IPTS/Pusat latihan tentera, bantuan mendapatkan kerjaya kedua selepas menamatkan perkhidmatan, mendapatkan jurang perbezaan pencen antara veteran terdahulu dan sekarang, mengkaji semula tempoh perkhidmatan berpencen bagi anggota ATM, pemberian pencen terbitan berterusan kepada isteri yang dikahwini selepas menamatkan perkhidmatan, bantuan kebajikan dan perubatan di panjangkan anggota tentera yang diberikan atas kesalahan tatatertib dan bantuan subsidi bagi bayaran bil elektrik dan air kepada semua veteran ATM (berpencen atau tidak berpencen).

”Selain itu, keutamaan dan keperihatinan terhadap isu-isu, keluhan dan rintihan yang diketengahkan oleh para veteran juga akan sentiasa diberi perhatian, JHEV ATM akan sentiasa memberi keutamaan bagi menentukan isu-isu yang dibangkitkan dan yang disuarakan oleh veteran ditangani dengan segera dan dengan rasa penuh tanggungjawab,”ujarnya.

Dalam pada itu kata Mohd Noor, JHEV pada masa ini telah mengurus dan mentadbir lebih kurang seramai 360,474 orang veteran ATM di seluruh Malaysia dan tidak semua veteran dapat dibantu kerana bantuan yang diberikan adalah kepada yang benar-benar dalam kesusahan.

“ Sekiranya ada di kalangan veteran yang ada pada hari ini merasa susah, ada lagi veteran yang lebih daif dan lebih susah, oleh demikian peruntukan kewangan yang ada perlu dipergunakan sebaik-baiknya oleh JHEV supaya orang yang dibantu adalah orang yang benar-benar layak,” katanya lagi.

 

Sumber : New Sabah Times