Logo JHEV

SHAH ALAM - Kira-kira 5,000 orang pesara doktor tentera belum lagi mendaftar sebagai anggota Persatuan Pegawai Veteran Kor Kesihatan Angkatan Tentera yang baharu ditubuhkan.

Presiden persatuan, Lt Kol (B) Dr Jaswant Singh berkata, ramai tidak sedar mengenai kewujudan persatuan berkenaan dan kini hanya lebih 100 pesara memilih untuk menjadi anggotanya.

Beliau berkata sebilangan besar pesara doktor tentera telah mencurahkan khidmat bakti semasa ancaman komunis, zaman konfrantasi dengan Indonesia dan darurat pada tahun 1960-an dan 1970-an.

"Ramai yang menjadi pegawai yang berjaya, tokoh korporat atau pengamal persendirian. Kami mahu mereka menjadi anggota supaya persatuan boleh memenuhi keperluannya untuk masyarakat dan negara," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, anggota paling kanan persatuan, Kol (B) Dr I Natarajan, 91, menyeru pesara pegawai perubatan angkatan tentera supaya tampil secara sukarela membantu mereka yang memerlukan perhatian perubatan terutama bekas perajurit.

"Untuk membolehkan persatuan mencapai kecemerlangan seterusnya, kita perlu melibatkan diri dengan rakan-rakan yang kurang bernasib baik, kebanyakan mereka telah berkorban dengan kehilangan nyawa dan anggota badan untuk mempertahankan kedaulatan negara," kata beliau.

 

Sumber : Bernama