KUALA TERENGGANU 29 Jun - Sebanyak 51 veteran Orang Kelainan Upaya (OKU) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Terengganu menerima bantuan khas sekali bayaran RM500, hari ini.

Timbalan Presiden, Kapt (B) Sharuddin Omar berkata, insentif khas daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM) itu bagi menghargai jasa anggota yang pernah berkhidmat kepada negara.

Katanya, bayaran itu adalah hasil daripada kutipan Tabung Pahlawan yang dilancarkan sejak tahun lalu bagi membantu veteran ATM yang kurang bernasib baik.

"Kita berhasrat untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan, bagaimanapun ia bergantung kepada kemampuan kita melalui kutipan di tahun-tahun akan datang dan ia wajar disokong semua pihak.

"Hasil kutipan ini disalurkan serta dimanfaatkan kepada mereka yang memang layak untuk menerima dalam kalangan veteran yang telah berjuang untuk kemerdekaan dan keamanan negara sekian lama," katanya kepada pemberita selepas menyampikan bantuan berkenaan kepada veteran ATM di sini.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 1,000 veteran tentera seluruh negara menerima bantuan ini dan setakat ini, sebanyak 700 telah menerima bayaran berkenaan. - BERNAMA

 

Sumber :  Utusan Malaysia Online