GERIK-Seorang pejuang tanah air yang juga bekas anggota Force 136 atau lebih dikenali sebagai Harimau Malaya, Wan Nik Wan Ngah, 91, meninggal dunia petang kelmarin.

Wan Nik yang berjuang sebagai gerila dalam pasukan Harimau Malaya meninggal dunia kerana sakit tua di Hospital Gerik, jam 5.40 petang.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Habsah Harun, 73, dan 12 anak serta 60 cucu.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerunai di sini jam 10 malam kelmarin.

Anak Allahyarham, Wan Mohd Baki, 50, berkata Allahyarham bapanya menganggotai Harimau Malaya bagi menentang tentera Jepun bermula 1 Disember 1944 sehingga di bubarkan oleh British pada 22 Disember 1945.

"Selepas itu beliau menyertai anggota Konstable Khas(SC) menentang komunis bermula 1 Ogos 1948 bagi menjaga keamanan kampung du Hulu Perak sehingga 21 Ogos 1953 semata-mata mahu menghapuskan komunis meskipun dibayar gaji RM70 sebulan", katanya.

Sumber:Berita Harian