Kemahiran, pengalaman semasa berkhidmat boleh membantu kerajaan

SIBU- Bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih muda serta sihat tubuh badan boleh terus memberi khidmat kepada negara dan masyarakat dengan kemahiran dimiliki ketika dalam perkhidmatan dahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata bekas-bekas tentera boleh membantu kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem termasuk agenda memerangi pembalakan haram.

“Bekas tentera masih muda dan kuat boleh membantu kerajaan membanteras pembalakan haram. Ini kerana, bekas tentera tahu menggunakan senjata atau mahir mempertahan diri,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) keempat di Dewan Suarah Sibu semalam.

Terdahulu, Dr Johnical mewakili Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh merasmikan AGM serta pemilihan ahli-ahli jawatankuasa bagi sesi 2015 hingga 2018.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Mejar Jeneral Datuk Wira Mohd Nor Daud, Pengarah JHEV Sarawak Lt Kol Monday Juhid, Setiausaha Politik Ketua Menteri Pau Kiew Chuang, Presiden PVTMS Thomas Ling serta yang lain.

Dr Johnical berkata, bekas-bekas tentera juga boleh menjawat jawatan ketua kaum dan ketua masyarakat sekiranya mendapat sokongan daripada wakil rakyat kawasan masing-masing.

“Saya meminta bekas-bekas tentera agar terus bekerjasama dengan wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing khususnya wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

“Ini kerana hanya kerajaan BN dapat menyahut serta menyelesaikan masalah rakyat khasnya di luar bandar yang masih memerlukan pembangunan seperti air, elektrik, jalan raya dan sebagainya,” jelas Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) itu.

Menyentuh mengenai PVTMS, beliau menggesa semua ahli agar terus bersatu padu agar terus releven selain dapat mencapai matlamat yang ditetapkan.

Menurut Dr Johnical, tanpa perpaduan persatuan akan pecah dan apabila berlaku perpecahan merugikan semua ahli sekali gus perjuangan serta matlamat tidak tercapai.

Pada majlis itu turut berlangsung penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada seramai 53 ahli-ahli PVTMS serta bantuan cermin mata rabun dekat.

 

Sumber :The Borneo Post