PENGKALAN HULU 22 April 2014- Sejak tujuh tahun lalu, seorang bekas anggota tentera di sini hanya mampu terlantar apabila bahagian kanan badannya lumpuh akibat angin ahmar manakala matanya yang buta menambah lagi penderitaan ditanggung.

Akibat nasib malang yang me¬nimpa, Abdul Rahim Rahmat, 57, dari Kampung Baru, Kuak Luar berkata, dia kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada isteri, Sufaira Kasim, 54, dan anak-anak untuk menguruskan diri.

"Saya tidak mampu buat apa-apa, hanya isteri dan anak-anak yang membantu saya bergerak untuk duduk, makan, mandi, buang air dan sebagainya."Tambahan pula mata saya me¬ngalami kerosakan akibat serangan strok (angin ahmar) dulu dan kini hilang penglihatan sepenuhnya menyebabkan saya semakin sukar untuk bergerak," katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Sufaira, keadaan keluarganya semakin sukar apabila dia tidak dapat meninggalkan suami-nya itu untuk keluar bekerja."Saya hanya mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran di kampung ini di samping melakukan kerja mengurut apabila diperlukan."Kami juga bergantung kepada anak sulung yang bekerja sebagai buruh di Felcra Bukit Buluh, dia tolong bayarkan bil-bil yang ada dan berikan RM50 untuk perbelanjaan dapur setiap kali dapat gaji," katanya yang mempunyai lapan orang anak termasuk dua daripadanya masih bersekolah.

Setakat ini mereka menerima bantuan saraan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Baitulmal, RM250 sebulan.
Dalam pada itu, nasib Abdul Rahim turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim yang melawat keluarga tersebut dan menghulurkan bantuan kerusi roda bagi memudahkannya bergerak.

"Selepas ini kita akan melihat keperluan lain yang patut diberikan kepada keluarga ini bagi meringankan lagi bebanan yang ditanggung."Saya akan cuba membantu terutamanya anak sulung mereka yang sanggup berkorban apa saja demi menjaga bapanya yang lumpuh, ibunya, termasuk adik-adik yang amat memerlukan perhatian dan pembelaan daripada keluarganya," kata Aznel.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan meringankan bebanan Abdul Rahim, boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Sufaira, 0213329824228339 atau hubungi 019-4819591 (Sharifudin).

 

Sumber : Utusan Malaysia