KUCHING – Tugas membantu mangsa bencana dan pepera-ngan bukanlah asing bagi Pegawai Waran II (B) Simud Saleh, 60, sepanjang 22 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Malah sebelum bersara pada 1 Januari 1999, beliau sempat me-nyertai operasi pengaman bersama Kerajaan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNTAC) di Kemboja selama setahun.

Selepas bersara, Simud kembali ke kampung halaman di Kampung Simpok, Jalan Padawan di sini untuk bekerja dalam sektor swasta sambil membantu isterinya berkebun dan menanam padi apabila mempunyai masa lapang.

Kelmarin, Simud dan keluar-ganya menjadi mangsa banjir yang melanda Kampung Simpok dan beliau gagal menyelamatkan banyak barang di dalam rumahnya.

Bencana alam itu menyebabkan keluarga bekas tentera itu mengalami kerugian besar termasuk dua buah kereta dan 20 guni padi yang ditenggelami air serta kerosakan perabot.

Bagaimanapun, kedukaan Simud sedikit terubat apabila nasibnya mendapat perhatian lapan anggota tentera Kompeni C, Batalion 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Ria, Penrissen di sini hari ini, yang sudi membantunya membersihkan rumah.

Menurut Simud, sebagai bekas tentera, beliau berasa terharu apabila ada rakan-rakan ATM yang sudi datang dan membantu meringankan bebannya selepas ditimpa musibah.

“Banjir yang datang secara tiba-tiba pada awal pagi menyebabkan saya bersama isteri serta empat anak termasuk seorang menantu tidak sempat menyelamatkan barang-barang di dalam rumah.

“Kami terperangkap kerana air sudah mengelilingi rumah dan hanya mampu melihat sebuah kereta Perodua Viva dan Proton Iswara yang diletak di luar rumah ditenggelami air,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini .

Simud berkata, memandangkan jalan raya dari rumahnya ke pusat pemindahan sudah ditenggelami air, dia sekeluarga tidak sempat berpindah dan hanya berserah kepada Tuhan agar tiada insiden tidak diingini menimpa keluarganya.

 

Sumber : Utusan Malaysia