REMBAU - Di kepekatan malam, tujuh sekawan nekad menyelusuri tepian pantai setelah bermati-matian cuba mempertahankan Tanah Melayu daripada kemaraan tentera Jepun di Bukit Cermin, Singapura sekitar awal tahun 1942.

 

Walaupun sudah lebih 73 tahun berlalu, peristiwa waktu Zaman Perang Dunia Kedua tidak pernah sesekali luput dalam ingatan Bekas Anggota Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Prebet Ujang Mormin, 94, apatah lagi ketika masa berkenaan, dia terpaksa mengambil keputusan paling berat dalam hidupnya berundur bersama rakan bagi menyelamatkan diri.

Menurutnya, sejak dari kecil dia sudah tertarik untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Askar Melayu lebih-lebih lagi melihat mereka penuh gaya memakai pakaian seragam masing-masing.


Beri alasan temuduga posmen

Ujang yang merupakan anak jati Kampung Kundur Hilir berkata, ketika dia berusia belasan tahun dia sangat kagum kepada 25 orang yang berjaya dipilih masuk dalam pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu pada Mac 1933.

“Bukan mudah nak jadi Askar Melayu masa itu... hanya betul-betul bagus saja terpilih.  Sebab Askar Melayu ni diiktiraf sebagai pasukan hebat oleh pegawai British sampai ada anak Melayu yang dapat pangkat Leftenan Muda.

“Uniform mereka, cara berkawat semuanya tarik perhatian saya. Jadi saya terpaksa tipu mak saya, cakap saya nak pergi temuduga posmen, padahal saya nak pergi temuduga Askar Melayu pada bulan Julai 1941," katanya.

Ujang berkata, emaknya, Teah Jenal telah menjual seekor ayam dan hasil jualan sebanyak RM5 itu digunakan sebagai modal buatnya menjalani  temuduga di Port Dickson.

“Saya dengan empat kawan sekampung pergi temuduga itu, dua orang saja yang terpilih.  Kawan saya yang tak dapat balik kampung, lepas tu dia beritahu pada mak saya.

“Mak saya marah, sebab tahu sajalah masa itu, mak bapa takut anak jadi askar, polis sebab takut kena bunuh," katanya.

Bagaimanapun, setelah dua bulan menjalani latihan di Port Dickson, mak dan kakaknya datang melawat dan ketika itu emaknya tidak lagi marah malah sebaliknya berbangga dengan pencapaiannya.

 

Redah hutan, gunung dari Kuantan ke Singapura

Ujang memberitahu, pada Disember 1941, tentera Jepun mula melipatgandakan serangan ke atas Tanah Melayu, dia yang baru empat bulan menjalani latihan dihantar ke Kuantan, Pahang bagi mengekang kemaraan Tentera Jepun.

Mereka berusaha sedaya upaya mengekang kemaraan tentera Jepun dan ketika itu dia ada terserempak dengan Leftenan Adnan Saidi.

“Walaupun berundur, saya tak menyerah kalah dan saya balas serangan mereka sehinggalah saya sampai di Bukit Cermin, Singapura dan terkena serpihan bom mortar di jari kelengkeng, kesannya ada sampailah sekarang," katanya.

Tambahnya, sebaik tiba di Bukit Cermin pada Februari 1942, dia dan rakan-rakannya terperanjat apabila kawasan berkenaan tiba-tiba dilimpahi cahaya.

“Masih saya ingat lagi masa itu ketua komandan kami, Mejar Henry buat pengumuman, dia panggil kami semua berhimpun... Masih saya ingat lagi Mejar Henry kata 'Encik-encik, Tuan-tuan... orang putih sudah kalah, kalau mahu ikut saya serah diri, akan jadi tahanan perang. Tapi kalau boleh balik jumpa keluarga mak bapak pergilah balik... ikut saya susah'," katanya.

 

Menyamar orang biasa

Berat memang berat keputusan yang diambilnya apabila terpaksa menanggalkan uniform Askar Melayu dan memakai pakaian orang biasa di rumah pertama penduduk yang ditemui mereka tujuh sekawan sebelum menyelusuri tepian pantai ke lokasi lebih selamat.

“Inilah pakaian yang tarik minat saya jadi askar tapi saya terpaksa tinggalkan di sana sebab nak menyamar jadi orang biasa... kami teruskan perjalanan sampai jumpa rumah yang ada penghuni, kami dapat bermalam di situ, kami juga diberi makan ubi kayu dan air kopi," katanya.

Jelasnya, seusai Subuh, mereka segera bergerak ke pelabuhan di Singapura dan mereka perlu bergerak pantas sebelum tentera Jepun yang masuk melalui jalan darat sampai ke Singapura.

“Mujur ada seorang dari kami tahu pandu lori, itupun setelah kami pilih lori yang tak ada mayat dalamnya.  Masa itu banyak kereta, lori tersadai sebab pelabuhan  kena bom.

“Mayat juga bergelimpangan sana-sini, kami terpaksa langkah mayat untuk selamatkan diri. Akhirnya kami berjaya sampai ke Pekan Singapura dan masing-masing membawa haluan sendiri. Saya tinggal bersama keluarga angkat di Jalan Seranggoan selama dua bulan," katanya.

 

Bukan penduduk Singapura diarah keluar

Jepun akhirnya mengeluarkan arahan mana-mana individu yang bukan penduduk Singapura harus keluar dari Singapura dan dia mengambil peluang itu untuk keluar dengan selamat dari Singapura.

Menurutnya, dia menjual sepasang baju dengan harga RM15 bagi membolehkan dia membuat bayaran pas yang disahkan Jepun sebanyak RM6.00.

“Dengan pas itu saya menaiki kereta api barang dari Singapura ke Rembau. Saya menetap di Rembau sebelum pergi semula ke Johor cari kakak.

“Saya tinggal di sana selama tiga tahun dan pada tahun 1945 Jepun akhirnya menyerah kalah.  Masa itu, penduduk sangat gembira dan saya terbaca iklan di akhbar yang mengarahkan askar Melayu yang terselamat untuk lapor diri di Singapura," katanya.

Ujang berkata, dia segara melaporkan diri dan terus berkhidmat sebagai Askar Melayu sehinggalah pada tahun 1947 dia membuat keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan.

“Macam-macam yang saya fikirkan ketika itu termasuk hidup berkeluarga.  Jadi, saya tidak sambung perkhidmatan dan mula berkhidmat sebagai kakitangan penjara pada tahun 1948 selama 30 tahun," katanya.

 

Menumpang kasih cucu saudara

Ujang berkata, walaupun berkhidmat sebagai kakitangan penjara, pengalaman bergelar tentera tidak pernah dilupakan dan rasa bangga bergelar sebahagian daripada keluarga Askar Melayu masih dirasainya hingga ke hari ini.

“Saya tidak akan lupa sampai bila-bila sebab nama baik Askar Melayu sering dapat pujian daripada tentera British,” katanya yang kini menumpang kasih di rumah cucu saudaranya, Maimun Jamil, 59, di Taman Pinggiran Pedas, di sini.

 “Mana lagi saya nak pergi, hanya harap kasih cucu saudara memandangkan anak-anak saya semua sudah tiada, meninggal dunia," katanya.

 

Satu-satunya anggota pertama RAMD yang masih hidup

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Cawangan Kota, Mejer (Bersara) Isnin Zainal berkata, Ujang dipercayai merupakan satu-satunya Anggota Pertama RAMD yang masih hidup.

Menurutnya, sumbangan dan pengorbanan Ujang sewaktu bersama-sama bertempur mempertahankan kubu terakhir British di Singapura pada awal tahun 1942 itu amat dihargai.

“Ujang juga merupakan penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang disampaikan sendiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setelah Persatuan Veteran ATM berjaya mengesan Ujang yang tinggal sebatang kara di Sikamat, Seremban tiga tahun lalu," katanya.

Untuk rekod, Ujang pernah menerima War Medal 1939-1945 dan The Pacific Star oleh kerajaan Britain atas sumbangannya semasa Perang Dunia Kedua.

 

Sumber : Sinar Harian