Perak, 02 April 2018 - Taman Tasik Taiping. EKSPRESI PRIHATIN VETERAN ATM NEGARAKU. Program Ekspresi Prihatin Veteran ATM NEGARAKU 2018 peringkat Negeri Perak telah diadakan di Taman Tasik Taiping.
Seramai 3000 orang Veteran ATM bersama keluarga telah membanjiri tapak program seawal jam 7.30 pagi. Pelbagai acara menarik telah diadakan diantaranya pertandingan memasak, sukaneka dan sebagainya yang disertai oleh warga veteran ATM serta ahli keluarga dan sukarelawan. Turut diadakan cabutan hadiah bertuah kepada warga veteran ATM dan keluarga mereka serta para pengunjung yang turut menghadiri program tersebut.
Ekspresi Prihatin Veteran ATM Negaraku merupakan satu rencana atau program yang telah dirancang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dikalangan warga veteran sendiri serta ahli keluarga dan juga kepada pegawai-pegawai serta staf-staf yang masih berkhidmat di Kementerian Pertahanan, di samping sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan warga veteran ATM sepanjang perkhidmatan mereka suatu ketika dahulu demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Negara.
Program ini juga, dilihat secara tidak langsung dapat memberi aspirasi kepada generasi muda untuk terus berjuang dan berbakti kepada tanah air yang tercinta ini.
#PerkasaPerwira
#Kebajikan