GEORGE TOWN, 23 Nov 2014 - Generasi muda perlu menghargai keamanan yang dinikmati oleh negara ini dan tidak melupakan jasa tentera yang telah mengorbankan nyawa mereka untuk mempertahankan negara.

Presiden Persatuan Veteran Pulau Pinang (PVA) Mejar (B) R. Sivarajan berkata penghargaan boleh diluahkan melalui pematuhan undang-undang dan sikap serta tindakan penolakan unsur-unsur yang boleh memecah belahkan rakyat.

"Jangan lupa sejarah dan konflik yang berlaku. Sentiasa ingat dan menghargai apa yang dinikmati sekarang dan bahawa ia datang dari perjuangan pejuang masa lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai perhimpunan bagi memperingati ulang tahun ke-100 askar yang meninggal dunia dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), di Memorial Padang Kota Lama di sini Ahad.

Majlis ini juga telah diadakan untuk mengingati jasa mereka yang telah terbunuh semasa Darurat dan Konfrontasi, termasuk pejuang selepas merdeka 1948-1968.

 

Sumber : BERNAMA