PERMATANG PAUH 28 Jun - Situasi darurat yang dihadapi negara akibat serangan komunis ‘belum tamat’ dan perlu dijadikan pengajaran oleh rakyat tentang pentingnya nikmat keamanan yang dikecapi hari ini.

 

Panglima Briged Keenam Infantri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigedier Jeneral Mohd. Zakaria Yadi berkata, jasa anggota tentera ketika itu perlu dihargai kerana ada yang mengalami kecederaan kekal serta terkorban dalam peperangan menentang komunis.

"Anggota tentera kita berjuang dengan nyawa untuk mengalahkan komunis yang mengganas ketika itu. Negara kita merupakan satu daripada dua negara di dunia yang berjaya mengalahkan komunis dalam perang.

"Ketika itu, pasukan keselamatan negara tidak dilengkapi dengan senjata dan markas canggih seperti sekarang, namun mereka berlawan habis-habisan untuk negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada seramai 25 veteran ATM, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zakaria berkata, tidak mustahil negara akan kembali diceroboh pihak tertentu jika rakyat tidak bersatu-padu dan membuka ruang perpecahan.

"Hargailah perjuangan anggota tentera kita terdahulu dan hormatilah balu-balu mereka yang masih hidup kerana tanpa mereka, mungkin negara kita tidak seperti apa yang ada pada hari ini," katanya.

Sementara itu, seorang penerima pingat, Abdul Hamid Hashim, 66, berkata, dia tidak dapat melupakan pengalaman bersama lapan rakannya bertempur dengan sekumpulan komunis di Lebuh Raya Timur Barat berhampiran Gerik pada 1970-an.

"Lebih seminggu kami terpaksa masuk ke dalam hutan untuk memburu komunis dan keadaan sangat berbahaya kerana mereka menggunakan taktik memasang periuk api dan melarikan diri.

"Ada kawan saya yang tercedera, namun kami berjaya menghalau kumpulan komunis berkenaan selepas berlaku pertempuran sengit," katanya

Seorang lagi penerima, Azmi Ahmad, 61, berkata, dia terharu kerana dipilih menerima pingat berkenaan walaupun selepas lebih 10 tahun menamatkan perkhidmatan.

"Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah selama lapan hari saya dan anggota ATM lain tidak keluar hutan di Perak kerana bertempur dengan komunis.

"Walau bagaimanapun, pada hari kesembilan kami mendapati kawasan itu mula sunyi kerana mereka melarikan diri selepas menyedari pasukan keselamatan negara semakin agresif menjalankan operasi," katanya.

 

Sumber : Utusan Online