SIBU- Pengorbanan anggota tentera serta veteran tentera sanggup menggadai nyawa di hujung senapang demi mempertahankan keselamatan dan keamanan negara harus dihargai semua lapisan masyarakat hari ini dan pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee berkata mungkin tidak ramai masyarakat termasuk beliau sendiri berada dalam keadaan seorang anggota tentera yang sanggup berjuang semata-mata untuk keamanan dan keselamatan negara.

“Sebab itu, apabila peranan tentera dipandang remeh atau dipersendakan oleh mana-mana pihak kita tidak harus membiarkan perkara ini berlaku.

“Ini kerana tidak ada kalangan masyarakat mempunyai peranan, tanggungjawab serta semangat begitu tinggi semata-mata mahu melihat negara ini dikecualikan daripada pencerobohan angkara mahupun sengketa sesama sendiri,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) Sesi 2015-2018 dan Majlis Penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM), di sini petang kelmariin.

Dr Annuar berkata, beliau masih ingat semasa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Perbandaran No.3 Kampung Bandong dahulu, sekolah atau kelas tempat beliau belajar pernah dimasuki oleh gerila komunis.

Pada masa itu, kita dapat melihat pentingnya peranan angkatan tentera membasmi atau menghapuskan anasir komunis ini.

“Pada masa itu, anggota tentera di hadapan sekali memastikan keselamatan masyarakat terjamin,” jelasnya sambil menambah meskipun ancaman komunis berakhir namun kini wujud pelbagai ancaman lain.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan PVTMS bersama-sama 9 Briged mengadakan program bagi memasyarakatkan persatuan bagi memperkenal persatuan serta ahli-ahlinya kepada masyarakat.

Dr Annuar berkata, beliau takut ahli-ahli persatuan nanti dilupakan masyarakat terutama jasa dan perjuangan begitu tinggi ahli-ahli persatuan kepada keselamatan negara.

Hadir sama Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Abdul Rahim Sebli, dua Setiausaha Politik Ketua Menteri Jefferson Jamit dan Romeo Christopher Tegong, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Cawangan Sarawak, Lt Kol Monday Juhid dan Presiden PVTMS, Thomas Ling.

 

Sumber:The Borneo Post