KUALA LUMPUR 28 Ogos 2014 -Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun perlu dijadikan acara nasional seperti sambutan Hari Kebangsaan bagi menghargai pengorbanan keringat, darah dan nyawa para perajurit negara.

Langkah itu juga sebagai medan terbaik untuk menerapkan nilai patriotik terutama dalam soal mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabuli mana-mana pihak khususnya dalam kalangan generasi muda yang kini dilihat semakin terhakis.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan tersebut dan sekarang adalah waktu yang paling sesuai untuk berbuat demikian.

Katanya, cadangan mengenai langkah menjadikan Sambutan Hari Pahlawan sebagai acara nasional akan dibawa kepada kerajaan dalam masa terdekat dan berharap usaha berkenaan disokong pelbagai pihak kerana objektifnya demi patriotisme.

"Sekarang ini kalau tanya golongan muda, terlalu sedikit yang sedar dan mengingati tarikh Hari Pahlawan. Hari Pahlawan ini besar maknanya terutama bagi perajurit dan pengisiannya perlu bersifat nasional, bukan sekadar kutipan derma.

"Kerajaan perlu mempunyai kesungguhan politik untuk mengangkat darjat Hari Pahlawan sebagaimana sambutan Hari Kemerdekaan agar kita dapat mendidik rakyat Malaysia pentingnya nilai patriotik," katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian selepas majlis 'Pahlawan Jasamu Sentiasa Dikenang' anjuran bersama PV-ATM dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di ibu pejabat akhbar itu di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad dan serentak dengan itu, logo baharu PV-ATM juga dilancarkan.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Anwar memberitahu, sambutan orang ramai khususnya sektor korporat terhadap kempen derma Tabung Hari Pahlawan sangat tidak memberangsangkan tetapi pihaknya masih menyasarkan kutipan sebanyak RM5 juta.

"Sasaran kita sama seperti tahun lalu kerana kami realistik, memandangkan sambutan daripada sektor korporat khususnya sangat tidak menggalakkan. Namun begitu kami akan terus meningkatkan usaha untuk menyedarkan mereka," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Anwar berkata, PV-ATM yang dahulunya dikenali sebagai Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) kini sedang melaksanakan proses transformasi dan penjenamaan semula untuk mengembalikan kegemilangan persatuan.

Katanya, proses transformasi yang dibuat telah mula menampakkan hasil apabila kewujudan PV-ATM berjaya mendapatkan kembali penerimaan kerajaan, rakyat Malaysia serta veteran tentera sendiri yang berjumlah 160,000 orang kepada pertubuhan itu.

 

Sumber : Utusan Melayu