ALOR SETAR – Suara veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan kembali kedengaran di Dewan Negara apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjanji untuk membawa perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

 

Hishammuddin berkata, pelantikan itu tidak hanya bagi mengiktiraf sumbangan veteran ATM, malah demi memastikan suara dan keluhan golongan itu diambil perhatian oleh kerajaan dan rakyat.

"Masanya sudah tiba untuk suara veteran kembali didengar di Dewan Negara. Kalau ditakdirkan, Insya-Allah Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Laksamana (B) Tan Sri Anwar Mohd. Nor akan menjadi senator.

"Itu merupakan satu keistimewaan buat para veteran iaitu suara mereka tidak terikat kepada Kementerian Pertahanan atau menteri. Ini menunjukkan menteri dan kerajaan tidak mengeksploitasi veteran ATM atas apa-apa tujuan sekalipun," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Peringkat Negara Ke-89 PVATM di Hotel TH di sini hari ini.

Cadangan itu nyata menggembirakan lebih 500 veteran yang hadir apabila hampir kesemua mereka memberi penghormatan berdiri serta tepukan gemuruh kepada Hishammuddin yang turut diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebaik pengumuman itu dibuat.

Sebelum ini, bekas Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Muhammad Abdul Ghani pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 2001.

Hishammuddin turut mengumumkan penyelarasan elaun sara hidup kepada golongan veteran ATM yang layak sebanyak RM300 sebulan, sebelum ini dalam julat antara RM100 hingga RM300.

"Kelulusan ini melibatkan peruntukan kewangan tambahan kepada kerajaan sebanyak RM11.96 juta pada tahun depan iaitu 5,287 penerima akan mendapat manfaatnya bermula Januari 2014," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Radzi supaya menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) serta Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi melakukan kajian secara terperinci tentang aspek kebajikan veteran ATM.

"Jawatankuasa itu akan bermula minggu depan dan saya sudah berpesan kepada Abdul Rahim agar menjadikannya sebagai agenda spesifik dalam membela nasib veteran ATM.

"Melalui jawatankuasa ini, kita tidak mahu lagi pembelaan veteran ATM hanya dijalankan secara bermusim, sebaliknya apa-apa perkara dibangkitkan oleh mereka akan diteliti dan dikaji pelaksanaannya," katanya.

 

Sumber : Utusan malaysia