PAGOH 26 Jan - Kesedihan seorang ibu tunggal yang kehilangan rumah pusaka arwah suami berakhir apabila rumah baharu yang dibina di bawah program Rumah Veteran 1Malaysia oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) siap dan boleh diduduki akhir bulan ini.

Jamilah Salim, 63, sebelum ini terpaksa menempuhi kehidupan sukar selepas rumah yang didudukinya lebih 30 tahun itu terpaksa dirobohkan kerana dibina atas tanah milik orang lain tanpa disedari arwah suaminya sewaktu membina kediaman berkenaan.

Warga emas itu menyangka selama ini tapak rumah tersebut tanah rizab milik Jabatan Kerja Raya namun perkara itu terbongkar apabila pemilik mahu menjualnya.

"Semuanya diketahui apabila tanah diukur semula dan mendapati tanah miliknya meliputi tapak rumah ini. Pemilik baharu minta saya mengosongkan rumah untuk dirobohkan dan saya terpaksa akur walaupun berat hati menerima keputusan itu.

"Selepas rumah dirobohkan Januari tahun lalu, saya menumpang di rumah kakak ipar yang terletak bersebelahan rumah lama hingga September lalu," katanya ketika ditemui dalam Majlis Tahlil dan Penyerahan Kunci Rumah Veteran 1Malaysia di Kampung Bukit Batu, Bukit Pasir, dekat sini baru-baru ini.

Penyerahan rumah itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Noriah Mahat; Naib Presiden 1 Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Mejar (B) Sazali Ismail; Pegawai Pemerintah 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja, Mejar Suraihan Md. Lani dan Ketua PBTM Cawangan Muar, Shamsudin Rais.

Rumah bantuan RM45,000 itu dibina oleh anggota tentera 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja.

 

Sumber : Utusan Melayu