KOTA BHARU 8 Jun 2014 - Impian seorang bekas tentera untuk memiliki kediaman sendiri sejak 28 tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila mendapat bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Membaiki Rumah, Strategi Lautan Biru (NBOS) Ke-7.

Penerima kunci rumah NBOS, Abdullah Che Man, 57, berkata, setelah menamatkan perkhidmatan dalam tentera pada 1986 dia hanya tinggal di rumah peninggalan mentuanya.

"Kalau mengikut pendapatan sebagai pengawal keselamatan kini, saya memang tidak mampu memiliki rumah sendiri. Malah, rumah yang saya diami kini juga semakin usang.

"Jadi, saya amat gembira kerana menerima bantuan daripada pihak JHEV yang memenuhi impian kami sekeluarga untuk memiliki rumah lebih selesa," kata pesara tentera tidak berpencen itu.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah NBOS Ke-7 kepada dua pemilik rumah yang disempurnakan Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud di Kampung Tunjung di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi JHEV ATM, Leftenan Kolonel Ahmad Kamar Abd. Ghani serta Pengarah JHEV ATM Cawangan Kelantan dan Terengganu, Mejar Abu Bakar Siddik Sulaiman.

Dalam majlis berasingan, Mohd. Noor turut menyerahkan replika kunci rumah kepada bekas tentera berpencen, Nik Ibrahim Hamat di Kampung Tangkal Durian, Machang.

Abdullah yang menamatkan perkhidmatan selepas 10 tahun menyertai ATM pada Oktober 1986 itu, berkata, dia menerima bantuan selepas mengemukakan permohonan kepada JHEV pada 2012.

Sementara itu, Mohd. Noor memberitahu, program itu merupakan usaha berterusan JHEV untuk memberi keselesaan serta membantu meningkatkan taraf kehidupan bekas anggota yang benar-benar memerlukan bantuan.

Katanya, majlis penyerahan kunci hari ini adalah lanjutan program NBOS pada tahun lalu yang mana sebanyak 13 buah rumah baharu dibina dan empat buah rumah untuk dibaik pulih untuk bekas tentera di negeri ini.

"Pembinaan baharu ini melibatkan peruntukan sebanyak RM45,000 untuk sebuah rumah dan kos baik pulih pula berjumlah RM11,000 setiap satu.

"Seorang pegawai dan beberapa anggota dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah terlibat dalam kerja-kerja pembinaan rumah pasang siap yang mengambil masa kira-kira 45 hari untuk disiapkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dianggarkan sebanyak 50 buah rumah baharu akan dibina dan 50 buah lagi untuk dibaik pulih di seluruh negara menerusi program sama pada tahun ini.

 

Sumber : Utusan Malaysia