KUALA LUMPUR 13 Julai 2014- Istiadat sambutan Hari Pahlawan yang bakal dirai pada 18 Julai ini di Kem Perdana Sungai Besi di sini menjanjikan kelainan berbanding sambutan terdahulu kerana menampilkan persembahan lakonan semula peristiwa pencerobohan di Lahad Datu yang telah menggemparkan negara serta dunia.

Pegawai Staf I Istiadat Markas 12 Briged, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Mokhtar Jusoh berkata, kejadian di Sabah pada Februari tahun lalu itu akan dilakonkan kepada umum bagi mendapat gambaran sebenar tragedi berdarah yang mengorbankan anggota pasukan pertahanan dan mengancam keselamatan negara.

"Persembahan ini melibatkan 11 orang pegawai dan 287 anggota ATM daripada Pasukan Infantri, Rejimen Gerak Khas, Pasukan Bantuan Tempur dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang akan melakonkan adegan cemas ketika peristiwa itu berlaku.

"Selain itu, antara aktiviti menarik termasuk deklamasi sajak oleh Kolonel Mohd. Radzi Abdul Hamid yang pernah menjuarai pertandingan deklamasi sajak peringkat kebangsaan turut diketengahkan," katanya ketika ditemui dalam raptai istiadat Hari Pahlawan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Menurut Mokhtar, selain acara perbarisan statik daripada pasukan seragam seperti ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Veteran ATM dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), penonton juga berpeluang menyaksikan pertunjukan aset-aset pertahanan yang dimiliki negara ini.

"Secara keseluruhan, jumlah kekuatan yang terlibat untuk menjayakan sambutan Hari Pahlawan 2014 adalah 35 pegawai dan 937 anggota daripada semua pasukan berkenaan dan akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada hari tersebut bermula pukul 8 pagi.

"Oleh kerana Dataran Merdeka kini sedang menjalani kerja-kerja membaik pulih, acara akan dilakukan di dalam kem dan kita menjemput orang ramai untuk datang memeriahkan majlis ini bersama-sama meraikan pahlawan negara yang berjuang mempertahankan kedaulatan Malaysia," katanya.

Tambah beliau, sambutan Hari Pahlawan tahun hadapan mungkin akan dilakukan di Dataran Pahlawan, Putrajaya.

 

Sumber : Utusan Online