KUALA LUMPUR 6 Sept 2014 - Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah bantuan secara berterusan sentiasa dihulurkan selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang mendahulukan rakyat.

 

Penaung Tabung Hari Pahlawan, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, meskipun telah tamat perkhidmatan, sumbangan serta hal ehwal kebajikan veteran masih terus dijaga dengan baik.

"Sebagai contoh, melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, pelbagai skim bantuan diberikan seperti Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan bagi Bantuan Sara Hidup, Bantuan Prapersekolahan, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi dan Bantuan Bencana Alam.

"Di samping itu, bantuan mendapatkan pekerjaan kedua di sektor awam dan swasta, kemudahan dalam bidang keusahawanan serta menyelaras khidmat bantuan daripada agensi turut diberikan. Ini jelas membuktikan veteran ATM tidak sekali-kali dipinggirkan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Tabung Hari Pahlawan 2014 yang bertemakan 'Demi Malaysia, Sekecil Mana pun, Besar Pengertiannya' di sini malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri seterusnya menyeru syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan menghulurkan sumbangan kepada Tabung Pahlawan.

''Hulurkan sumbangan mengikut kemampuan, jika sedikit tanda ingatan dan kalau banyak tanda penghargaan.

''Dana yang dikumpul akan digunakan sepenuhnya bagi memberi bantuan kepada veteran dan balu yang terkorban semasa dalam operasi mempertahankan negara," katanya.

Beliau berkata, berkat keikhlasan rakyat Malaysia, Tabung Hari Pahlawan telah berjaya mengumpul sebanyak RM6.1 juta (2010), RM5.9 juta (2011), RM3.9 juta (2012) dan RM4.1 juta (2013).

Kempen Tabung Hari Pahlawan tahun ini, kata beliau, menyasarkan sebanyak RM5 juta dan antara pihak yang telah memberikan sumbangan setakat ini dengan jumlah RM1.64 juta adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Affin Bank, Pakaian Saling Erti, MTU Services Sdn Bhd, Bousted, Kerajaan Negeri Sarawak, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd. dan Rafulin Ventures Sdn. Bhd.

 

Sumber : Utusan Malaysia