MEMBAKUT-Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) sedang mengutip semula wang pencen berjumlah RM2.4 juta yang telah dibayar kepada pesara tentera yang meninggal dunia dan tidak mempunyai waris yang layak menerimanya.

 

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud berkata, jumlah itu melibatkan 460 pesara tentera yang telah meninggal dunia dan dua daripada kes berkenaan adalah di Sabah.

"Berdasarkan semakan, ada dalam kalangan waris veteran tentera yang meninggal dunia mendakwa tidak pernah mengeluarkan wang daripada akaun veteran itu malah ada juga yang tidak tahu-menahu mengenai kewujudan akaun berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 20 veteran tentera dari kawasan Parlimen Kimanis di Dewan Masyarakat Membakut di sini hari ini.Pingat itu dianugerahkan bagi mengiktiraf golongan veteran tentera yang telah berkhidmat dan berjasa mempertahankan negara daripada ancaman pengganas komunis suatu masa dahulu.

Mohd Noor berkata, pihaknya juga akan menghubungi Bank Negara dan pihak bank lain untuk memeriksa akaun pesara tentera yang telah meninggal dunia serta mendapatkan kembali sejumlah wang pencen daripada akaun itu yang telah dibayar kepada mereka.

Bagaimanapun, katanya, bagi waris yang tidak layak menerima wang pencen tetapi telah mengeluarkan wang daripada akaun itu, mereka perlu mengembalikan semula wang berkenaan kepada kerajaan.

"Bayaran boleh dibuat secara beransur-ansur sekiranya waris kurang berkemampuan melunaskannya sekali gus," katanya menambah JHEV ATM masih berusaha mengesan waris terutamanya yang telah bertukar alamat melalui Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Beliau berkata waris yang tidak layak dan telah mengeluarkan wang pencen berkenaan juga perlu menghubungi persatuan veteran ATM berdekatan atau JHEV ATM di kawasan masing-masing bagi membolehkan masalah itu diselesaikan.

Sementara itu, mengenai Bantuan Sara Hidup untuk pesara tentera yang dinaikkan dan diseragamkan daripada antara RM100 hingga RM300 mulai 1 Jan lepas, beliau berkata seramai 5,280 pesara tentera layak menerima bantuan itu di seluruh negara.

Pada masa ini, JHEV ATM mengurus dan mentadbir kira-kira 379,000 orang veteran tentera yang berpencen dan tidak berpencen di seluruh negara.

Sumber: BERNAMA