KOTA BAHARU - Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyasarkan pembinaan dan membaik pulih 84 buah rumah veteran ATM bernilai RM2.86 juta di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud berkata, usaha di bawah Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia itu adalah penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan veteran ATM kepada negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 34 buah rumah uzur akan dibaiki dengan peruntukan RM11,000 bagi sebuah rumah di Semenanjung Malaysia, manakala RM12,000 bagi Sabah dan Sarawak.

"Sementara 50 buah lagi bagi pembinaan rumah baharu dengan kos RM45,000 hingga RM50,000 sebuah," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah di bawah program berkenaan di sini hari ini.

Mohd Noor berkata program itu dilaksanakan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan Tujuh dengan pembiayaan sepenuhnya daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). - BERNAMA

 

Sumber : Utusan Malaysia