PAGOH 29 Dis - Kesempitan hidup seorang veteran tentera sehingga tidak mampu membaiki kerosakan bumbung di bahagian dapur rumahnya sejak empat tahun lalu akhirnya mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Sebanyak RM11,000 dihulurkan oleh JHEV menerusi Bantuan Baik Pulih Rumah 1Malaysia dengan menggantikan keseluruhan bumbung dan siling rumah Ahmad Basri Borhan, 63, dari Lorong Haji Borhan, Kampung Terus Darat, Panchor dekat sini yang siap minggu lalu.

Ahmad Basri berkata, keluarganya kini hidup lebih selesa kerana sebelum ini dapurnya tidak dapat digunakan jika hujan kerana bahagian bumbung bocor.

"Sebelum ini saya tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk membaiki kerosakan bumbung. Dapur rumah kami berkeadaan demikian selama empat tahun.

"Saya hanya bekerja sebagai penoreh getah dan melakukan kerja- kerja kampung untuk menanggung lapan orang anak dan pendapatan sedia ada cukup makan sahaja," katanya semasa menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh hari ini.

Ahmad yang bersara awal dalam pasukan tentera pada 1995 dan kemudian bekerja sebagai pemandu lori berkata, permohonan untuk mendapatkan bantuan tersebut dibuat menerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar baru-baru ini.

Dia yang turut menerima bantuan warga emas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak setahun lalu bersyukur dengan keprihatinan kerajaan terutama JHEV dan PBTM terhadap nasibnya.

Ditanya sebab berhenti awal, Ahmad Basri memberitahu, dia terpaksa berbuat demikian meskipun baki perkhidmatan tinggal setahun setengah lagi kerana terpaksa pulang ke kampung untuk menjaga isterinya yang menghidap strok.

Ketika itu dia sedang berkhidmat di Sibu, Sarawak dan bertugas di sana tanpa membawa keluarga ke sana dan setahun selepas berhenti, isterinya meninggal dunia.

Datuk kepada 17 orang cucu itu berkata, pada 2010 dia terpaksa berhenti sebagai pemandu lori setelah menghidap penyakit kencing manis sehingga dua jari kaki kiri serta kanan dipotong dan keadaan tersebut menyukarkan lagi hidupnya.

Sementara itu Ketua PBTM Muar, Shamsudin Rais berkata, pihaknya akan terus komited membela nasib bekas tentera tidak berpencen menerusi bantuan yang disediakan kerana tidak mahu jasa mereka diabaikan selain hidup dalam keadaan daif.

 

Sumber : Utusan Melayu