TAPAH 8 Jan - Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) sentiasa berusaha membantu pesara tentera untuk mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai sektor, bagi memastikan mereka mendapat pendapatan bulanan yang boleh menampung keperluan keluarga.

Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud berkata, sehingga ini JHEV sudah membantu 90 pesara tentera mendapatkan pekerjaan.

Menurutnya, kebanyakan mereka bekerja sebagai pemandu peribadi, pengawal keselamatan di premis .

“Kita beri kerja yang mereka minati dan bersesuaian dengan pengalaman yang mereka ada sebagai anggota tentera sebelum ini.

"Ada beberapa syarikat yang memerlukan khidmat pesara tentera dan setakat ini lebih 900 golongan tersebut menjalani temuduga untuk diambil bekerja dengan syarikat terbabit,’’ katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan kunci rumah baru kepada pesara tentera, Shamsudin Abdul Ghafor di Kampung Baru Banir Estate, Temoh, di sini, Sabtu lalu.

Dalam perkembangan sama, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor berkata, pihaknya merancang membina 200 rumah harga RM45,000 seunit, dalam usaha membantu pesara tentera yang masih belum memiliki rumah.

Katanya, sepanjang 2013, pihak JHEV telah membina 200 unit rumah baru untuk pesara tentera di seluruh negara.

 

Sumber : Sinar Harian