KULIM, 20 Julai 2014- Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membelanjakan RM1.78 juta untuk membantu sebanyak 3,610 orang kurang berkemampuan sempena musim perayaan ini.

Ketua Pengarahnya, Mejar Jen Datuk Mohd Daud Mohd Noor berkata golongan itu meliputi bekas tentera terutama yang berusia 70 tahun ke atas, anak-anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) serta ibu tunggal. 

Beliau berkata jabatan itu sentiasa prihatin dengan golongan kurang bernasib baik itu dan mengambil berat kebajikan bekas-bekas anggota tentera serta balu mereka.

"Pihak Jabatan juga sering mencari dan mengesan mereka (bekas tentera untuk membantu dan mengetahui perkembangan kehidupan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 55 anak-anak yatim dari Pertubuhan Pembangunan Anak-Anak Yatim Persatuan Bekas Perajurit Malaysia Daerah Kulim, di sini.

Beliau berharap sumbangan yang diberikan, dapat memberi keceriaan kepada golongan terbabit selain berasa dihargai.

Pada majlis berkenaan setiap anak yatim menerima sumbangan wang tunai RM300.

 

Sumber- BERNAMA