KOTA KINABALU 10 April - Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) akan mengkaji pemberian bantuan sara hidup kepada veteran tentera termasuk di negeri ini berikutan peningkatan kos sara hidup semasa.

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud berkata, bagi negeri ini seramai 1,000 daripada 4,500 bekas tentera menerima bantuan wang sara hidup antara RM100 hingga RM300 sebulan.

"Kita akan mengkaji penambahan wang sara hidup kepada mana-mana bekas tentera yang mendapat minimum RM100 kepada satu jumlah yang lebih tinggi ekoran peningkatan kos hidup.

"Namun ia masih dalam kajian termasuk mengambil kira paras garis kehidupan dan belum lagi diputuskan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Penyerahan Kunci Rumah Strategi Lautan Biru (NBOS) Ke-7 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Pemerintah Skuadron Kelima Rejimen Askar Jurutera, Mejar Norzahari Efendy Zakaria; Pengarah JHEV negeri, Lt. Kol. Adnan Ariffin dan Yang Dipertua Presiden Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Sabah, Abd. Sanon Sapari.

Seramai 30 anggota tentera yang berkhidmat menentang komunis pada tahun 1969 hingga 1989 menerima PJM pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, beliau menyeru veteran tentera yang masih belum mendaftar di pejabat JHEV negeri agar berbuat demikian bagi memudahkan urusan kebajikan mereka.

Beliau menambah, pihaknya turut mengkaji jika terdapat keperluan untuk membina lagi pusat rujukan JHEV di kem tentera di negeri ini bagi memudahkan veteran tentera membuat rujukan hal semasa.

"Setakat ini kita mempunyai dua pusat rujukan JHEV iaitu di Tawau dan Sandakan. Jika ada keperluan, kita akan membuka lagi pusat rujukan di daerah-daerah lain di Sabah," katanya.

Sementara itu, Mohd. Noor berkata, sebanyak sembilan buah rumah baharu akan dibina manakala enam buah rumah lagi dibaik pulih bagi kemudahan veteran untuk fasa pertama tahun ini.

 

Sumber : Utusan Malaysia