SANDAKAN 10 Feb. - Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang untuk membina dan membaik pulih kira-kira 200 buah rumah bekas tentera di seluruh negara pada tahun ini dengan anggaran kos RM50 juta.

Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud berkata, setelah dikenal pasti, sebanyak 100 buah rumah baharu akan dibina dengan kos RM50,000 sebuah di Sabah dan Sarawak manakala di Semenanjung, RM45,000 sebuah.

Menurutnya, baki 100 buah rumah lagi akan menjalani proses baik pulih dengan peruntukan RM11,000 setiap satu.

"Membina rumah baharu dan membaik pulih rumah anggota veteran merupakan usaha berterusan JHEV untuk memberi keselesaan serta membantu meningkatkan taraf kehidupan bekas anggota yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya selepas majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 7 dan Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia di sini semalam.

Tambah Mohd. Noor, pada tahun lalu, jabatan itu telah membina sebanyak 130 buah rumah baharu dan membaik pulih 70 buah rumah anggota veteran di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 buah rumah baharu dibina dan 10 buah rumah dibaik pulih di Sabah.

Menurutnya, selain menyalurkan bantuan membina dan membaik pulih rumah, pelbagai skim bantuan turut disediakan kepada anggota veteran yang berkelayakan termasuk bantuan sara hidup, peralatan kesihatan dan ubat-ubatan.

"JHEV turut menyediakan beberapa bantuan lain termasuk kemasukan ke pusat pengajian tinggi kepada anak anggota, bantuan persekolahan, bencana alam, rawatan dialisis, khairat kematian dan pencarian pekerjaan," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan menerusi JHEV telah membelanjakan RM1.9 bilion untuk pembayaran pencen dan faedah persaraan melibatkan 108,622 anggota veteran selain bayaran kemudahan perubatan sebanyak RM56 juta membabitkan 14,256 orang.

Tambahnya, bantuan mengurus jenazah pesara ATM pula melibatkan peruntukan sebanyak RM3.3 juta membabitkan 1,097 orang dan bantuan kebajikan pula berjumlah RM14.9 juta.

"Sehubungan itu, saya berharap lebih ramai anggota veteran ATM mendaftar dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) bagi memudahkan mereka mendapat bantuan sewajarnya," katanya.