KUCHING 28 Ogos 2014 - Kata-kata azimat pahlawan Iban 'Agi Idup Agi Ngelaban', yang bermaksud selagi nyawa di badan, pasti akan melawan cukup sinonim dengan perwira negara, mendiang Datuk Temenggong Kanang anak Langkau.

Berbekalkan semangat tersebut, mendiang tidak gentar menghadapi musuh untuk mempertahankan kedaulatan tanah air, khususnya ketika zaman pemberontakan komunis suatu ketika dahulu.

Paling dikenang oleh rakyat Malaysia mengenai Pegawai Waran I (B) ini adalah peristiwa beliau cedera parah ditembak tetapi tetap bangkit berjuang ketika mengetuai Platun Perisikan Tempur menjejaki dan membunuh lima pengganas komunis dalam pertempuran di Perak sekitar 1980.

Keberanian ditunjukkan ini melayakkan dirinya dipilih sebagai satu-satunya penerima dua darjah keberanian tertinggi negara sekali gus iaitu Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Anak jati Sarawak berketurunan Iban ini meninggal dunia pada usia 68 tahun akibat serangan jantung pada 3 Januari 2013 meninggalkan balu Datin Brawang Chunggat serta lima anak hasil perkahwinan terdahulu dengan mendiang isteri pertamanya, Helen Latai Intie.

Ibarat pepatah 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggal jasa', begitu juga dengan Kanang apabila nama dan jasanya kekal diingati oleh rakyat Malaysia sehingga hari ini.

Paling terkesan dengan kehilangan lelaki yang gemar berjenaka dan mudah bergaul dengan sesiapa saja ini ialah isterinya, Brawang, 56, yang sempat melayari kehidupan rumahtangga bersamanya selama dua tahun.

Menurut Brawang, walaupun mereka hanya hidup bersama dalam tempoh singkat namun terdapat banyak kenangan manis yang sukar dilupakan terhadap mendiang suami tercinta itu.

"Antara kenangan manis yang kekal diingati ialah pengalaman menemani mendiang ke beberapa tempat di negara ini untuk mengadakan ceramah, menyertai program sosial dan kebajikan serta meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada setiap tahun.

"Pengalaman itu cukup menyeronokkan walaupun sudah tidak lagi dapat dirasai kerana tiada lagi jemputan untuk saya menghadiri acara bersejarah itu selepas mendiang meninggal hampir dua tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Apong Baru di sini baru-baru ini.

Mengakui mendiang seorang yang kuat berjenaka dan jarang sakit, Brawang berkata, suaminya itu sanggup memandu jauh yang mengambil masa seharian perjalanan sehingga ke Bintulu dan Miri untuk memenuhi jemputan menga- dakan ceramah atau acara tertentu walaupun sepatutnya boleh menaiki pesawat dari sini.

Beliau berkata, mereka bukan mahu berjimat tetapi seronok memandu kerana boleh melihat pemandangan dan singgah makan serta membeli barang di sepanjang perjalanan.

 


Brawang Chunggat (tengah) menziarahi kubur suaminya Kanang Anak Langkau, baru baru ini. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

 

Tambah Brawang, setiap kali menjelang acara perarakan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, Kanang akan berasa teruja untuk menyertainya.

Sejak malam lagi, beliau sudah mempersiapkan uniform veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pingat kebesaran yang diterima untuk dipakai dalam perarakan dan bangun tidur awal untuk menghadiri acara bersejarah itu.

Bagaimanapun, semua pengalaman itu tinggal kenangan kerana seperti tahun lalu, Brawang tidak lagi berpeluang untuk menyaksikan perarakan Hari Kemerdekaan pada Ahad ini dan Hari Malaysia pada 16 September nanti memandangkan tidak lagi menerima jemputan menghadiri majlis itu daripada kerajaan.

"Namun jauh di sudut hati, saya memang teringin untuk terus menghadiri upacara bersejarah itu bagi mewakili mendiang suami yang diiktiraf sebagai perwira negara dan menzahirkan semangat cinta terhadap negara menjelang sambutan Hari Kemerdekaan," katanya.

Sepanjang tempoh dua tahun hidup bersama, Brawang bukan sahaja menganggap Kanang sebagai suami, malah kawan baik apabila semua cerita suka duka dikongsi bersama.

Menurutnya, Kanang tidak pernah jemu bercerita mengenai pengalamannya bertempur menentang musuh semasa berkhidmat sebagai askar dan sebagai isteri, beliau setia mendengar kisah menarik itu.

Ditanya bagaimana mereka bertemu jodoh, Brawang memberitahu, Kanang yang pernah berkahwin dengan Helen bukanlah orang lain kerana mendiang isteri pertama suaminya itu mempunyai pertalian `tiga pupu' dengannya.

"Saya bertemu dengan Kanang selepas kematian suami pertama ketika pulang ke kampung di Sri Aman.

"Kanang yang berasal dari Julau turut pulang ke kampung tersebut untuk bertemu dengan keluarga Helen yang berasal dari kampung sama dengan saya di Sri Aman," ceritanya mengimbas semula detik awal percintaan mereka.

Dalam pertemuan itu, kata Brawang, mereka jatuh cinta dan tidak lama kemudian Kanang menyuarakan hasrat untuk memperisterikannya.

Beliau sudi menerima lamaran pahlawan negara itu selepas Kanang bersetuju berpindah dari Julau untuk tinggal bersama di rumahnya di Kampung Sungai Apong Baru.

Brawang memberitahu, beliau sejak remaja sudah mengenali mendiang suaminya itu tetapi tidak menyangka akhirnya bertemu jodoh pada usia emas.

"Walaupun berbeza usia 14 tahun, namun saya boleh menyesuaikan diri dengan suami dan berasa bertuah dapat hidup bersama sehingga ke akhir hayatnya. Sikapnya yang penyayang dan gemar bergurau menceriakan saya setiap hari.

"Satu lagi keistimewaan Kanang ialah beliau gemar memasak terutama ayam pansuh yang menjadi lauk kegemarannya," kata Brawang yang kini mengusahakan kedai runcit di rumah untuk menyara hidup kerana tidak mendapat wang persaraan suaminya selepas mendiang meninggal dunia.

 

Sumber : Utusan Melayu