KUBANG PASU  – Kebajikan lebih 300,000 veteran tentera akan diberi tumpuan bagi memastikan kehidupan para pejuang yang sanggup bergadai nyawa untuk negara berkenaan terus terbela dan dihargai.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, perbincangan telah diadakan dengan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berhubung perkara tersebut.

"Kita mendapati lebih daripada 300,000 veteran tentera di negara ini memerlukan perhatian daripada pihak kementerian dan beberapa perkara dilakukan untuk membantu para pejuang yang telah berkorban untuk mempertahankan negara sebelum ini.

"Ini kerana ada di antara mereka yang tiada keluarga dan terlantar di rumah-rumah orang tua, amat malang melihat keadaan mereka seperti itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Persida­ngan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, Kementerian Pertahanan dan PVATM akan menjalankan ker­jasama untuk mem­beri perhatian dan menjaga kebajikan golongan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, tumpuan turut akan diberikan terhadap hal ehwal perumahan tentera terutama melibatkan kem yang telah berusia lebih daripada puluhan tahun.

Jelasnya, sudah pasti keadaan rumah berkenaan perlu diperbaiki terutama­nya dari segi pendawaian yang telah daif dan perlu diperbaharui.

"Rumah ini pen­ting terutamanya se­kali apabila anggota tentera keluar pergi menjalankan opera­si sehingga terpaksa meninggalkan kelu­ar­ga, ada yang pergi sampai tiga bulan, kalau pergi keluar negara, ada yang memakan masa beberapa tahun.

"Kalau tinggal dalam keadaan demikian rupa, sudah pasti tum­puan mereka bertugas kepada negara terutamanya di perbatasan akan terjejas," katanya

 

Sumber : Utusan Malaysia