Logo JHEV

 

SUNGAI PETANI - Insiden pertempuran di Pasar Bakara, Somalia pada 1993 lalu yang membabitkan pasukan MALBAT 1 membuktikan kemampuan pasukan tentera negara dalam memikul tanggungjawab besar untuk mempertahankan tanah air. Justeru, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menegaskan kerajaan akan terus pandang tinggi peranan perajurit negara termasuk golongan veteran tentera yang terbukti tidak pernah gentar untuk laksana tanggungjawab mereka. 

 

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) baru-baru ini di New York menyatakan akan teruskan usaha untuk pastikan ATM dan negara diletak sebaris dengan negara lain di luar sana dan usaha yang kita lakukan itu bukan bersifat retorik. "Hari ini apa yang kita raikan (wira pertempuran Pasar Bakara) adalah landasan terbaik apabila ATM diberi tugas pikul tanggungjawab, kita pikul sungguh-sungguh.

"Jaminan saya, selagi saya memimpin MINDEF (Kementerian Pertahanan), kita akan terus pandang tinggi perajurit kita yang tak pernah gentar untuk turun padang laksana tanggungjawab. Veteran juga akan terus jadi agenda kita dan bajet yang dibentangkan baru-baru ini walaupun dalam ekonomi mencabar, akan kita cari untuk pastikan pembelaan mereka," katanya. Beliau berkata demikian berucap merasmikan Majlis Menghargai Wira Pertempuran Pasar Bakara, Somalia di Kem Lapangan Terbang di sini, hari ini. Program itu dianjurkan MINDEF dengan kerjasama BH dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Sumber : Berita Harian