KUALA LUMPUR- Kerajaan bercadang menubuhkan sebuah pusat bagi membantu veteran tentera yang kurang bernasib baik.

 

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Mohd Johari Baharum berkata cadangan itu sedang dikaji secara lebih mendalam sebelum dilaksanakan.

"Saya difahamkan ada dalam kalangan veteran tentera yang tinggal sebatang kara dan seakan terbuang berada di rumah orang tua dan sebagainya.

"Perkara ini kita sedang kaji untuk wujudkan satu tempat diurus sendiri Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan kita akan melihat kesesuian lokasi bagi tujuan ini.

"Kita juga akan tambah baik bantuan perubatan kepada veteran tentera," katanya kepada pemberita dalam lawatan rasminya ke ibu pejabat PVATM di sini hari ini.

Mohd Johari berkata kementerian menggalakkan persatuan veteran yang beroperasi secara kecil-kecilan agar berada di bawah satu bumbung bagi memudahkan penyeliaan kebajikan mereka.

"Setakat ini kita mempunyai seramai 130,000 ahli PVATM...masalahnya terlalu banyak persatuan-persatuan kecil. Kita akan kaji balik supaya semuanya diletak di bawah satu bumbung bagi memudahkan sebarang tindakan untuk membantu golongan veteran dapat dilakukan secara berkesan," katanya.

Pada majlis berkenaan veteren Ng Chow Seng, 80, yang merupakan bekas Pegawai Waran 2, diraikan selepas berjaya memenangi pingat emas bagi kumpulan usianya dalam 'World Masters Weightlifting Championship 2015' anjuran International Weightlifting Federation di Finland pada 12 hingga 19 Sept lepas.

Kejayaan itu sekali gus melakarkan namanya pada 'World Weightlifting Hall of Fame' kerana memenangi pingat emas sebanyak empat kali setakat ini.

 

Sumber : BERNAMA