Logo JHEV

MIRI: Usaha kerajaan mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di semua kawasan Parlimen di Sarawak menjelang tahun hadapan adalah satu usaha murni dalam membantu mengurangkan bebanan rakyat.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau Jok berkata ini adalah usaha serius yang tidak patut diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

“KR1M adalah usaha serius kerajaan membantu rakyat di setiap kawasan Parlimen, bukan satu usaha atau kerja sia-sia yang tidak mendatangkan hasil,” kata-nya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang 31 kawasan Parlimen di Sarawak yang bakal memiliki sebuah KR1M menjelang tahun hadapan.

Bagaimanapun, beliau meminta kerajaan melihat dari segi keperluan dan permintaan di sesebuah kawasan terlebih dahulu seperti Baram yang melibatkan kawasan besar dan luas.

“Jika dilihat di Baram, satu KR1M tidak dapat menampung keperluan semua penduduk meliputi seluruh kawasan,” ujarnya.

Beliau bercadang merujuk kepada keperluan penduduk Baram, KR1M perlu diwujudkan di tiga kawasan iaitu Lapok, Marudi dan Long Lama.

Pada awal Oktober lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu sebanyak 57 KR1M  bakal dibuka di Sarawak, Sabah dan Labuan.

Ini berikutan peruntukan sejumlah RM87 juta yang diperolehi oleh kementerian dalam Belanjawan 2013.

Setakat ini, hanya terdapat dua KR1M di Sarawak yang kedua-duanya terletak di Kuching. 

 

(Sumber : Utusan Borneo Online, 17 Oktober 2012)