Bau, Sarawak 26 Januari 2010 - Menteri Muda Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Negeri Sarawak, Datuk Peter Nansian anak Ngusie, ADUN N2 Tasik Biru, Sarawak telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Skim Bantuan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan Majlis Ramah Tamah Hari Krismas di Dewan Masyarakat Kampung Sibuluh, Bau, Sarawak pada 26 Januari 2010 (SELASA) jam 9.00 pagi.

Turut hadir di majlis ini ialah ADUN N1 Opar, Sarawak, YB En. Ranum anak Mina  serta Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Mej Jen Dato’ Zulkiflee bin Mazlan.

Dalam majlis ini, seramai 103 orang Veteran ATM yang ditimpa bencana alam di negeri Sarawak iaitu banjir pada penghujung Disember 2008 sehingga Januari 2009 telah menerima Skim Bantuan Bencana Alam JHEV dan kadarnya adalah sebanyak RM500 setiap orang.

Dalam majlis yang sama, seramai 15 orang Veteran ATM telah menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) daripada Datuk Peter Nansian anak Ngusie. Mereka adalah yang telah berkhidmat antara tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 untuk operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) dan dari tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

Sempena majlis ini juga, JHEV telah memberikan Skim Bantuan Kemasukan ke IPTA kepada 8 orang pelajar dan seorang penerima Bantuan Sara Hidup.