KUALA LUMPUR 5 Jan 2013- Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan masa depan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bekas anggotanya dan kelangsungan perjuangan pahlawan terdahulu akan terus dibela selagi negara dipimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, jangan sesekali melakukan percubaan dengan meletakkan harapan kepada pihak yang tidak mampu memberi jaminan masa depan lebih baik kepada ATM dan juga negara.

Beliau menggesa bekas anggota tentera supaya membuat pilihan tepat dengan memilih kepemimpinan politik yang tahu mengurus negara serta menghargai bekas tentera dan mempunyai agenda untuk memajukan ATM.

“Masa depan ATM, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan masa depan negara tidak boleh dipisahkan dengan perjuangan kerajaan hari ini. Siapa yang boleh jamin masa depan kita, siapa yang boleh jamin kelangsungan Rejimen Askar Melayu?.

“Kita berjaya kerana anda meletakkan kepemimpinan negara pada tempat sewajarnya yang tahu mengurus negara, tahu menilai pengorbanan perajurit, ada agenda untuk membangunkan ATM dan akan mempertahankan maruah ATM,” katanya berucap pada majlis makan malam dan perasmian Persidangan PBTM kali ke-87, di sini, malam tadi.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani. 

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyerahkan replika cek bayaran sumbangan veteran ATM tidak berpencen sebanyak RM224 juta kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Najib yakin fasa pertama pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT) dapat disiapkan pada akhir 2016, mengikut jadual asal. 

Beliau berkata, pelaksanaan fasa pertama Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang bermula dari stesen Sungai Buloh ke Semantan, menepati bajet ditetapkan dan kos pembinaan dijangka tidak melebihi RM23 bilion. 

Laluan pertama MRT (Sungai Buloh-Kajang) membabitkan dua fasa, iaitu Sungai Buloh ke Semantan (fasa satu) dan Semantan ke Kajang (fasa dua). 

Projek itu membabitkan jarak 51 kilometer dengan 31 stesen perhentian yang turut melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur. 

Perdana Menteri berkata demikian selepas meninjau tapak pembinaan stesen MRT bawah tanah Cochrane di sini, semalam. 

Najib berkata, secara umum reaksi rakyat terhadap projek itu semakin positif kerana melihatnya bukan saja membantu penduduk di Kuala Lumpur dari segi pengangkutan awam, malah peningkatan nilai tanah yang ketara, terutama di kawasan stesen MRT. 

“Dengan pelaksanaan projek MRT ini, peluang perniagaan baru disediakan dan ia akan meletakkan imej Kuala Lumpur sebaris bandar raya utama di dunia,” katanya. 

Fasa kedua dari stesen Semantan ke Kajang pula dijangka siap akhir Julai 2017 seperti dijadualkan.