PUTRAJAYA, 2 April  -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan hormat Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan tujuh anggota exco PBTM di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Barisan exco PBTM yang hadir pada perjumpaan ini ialah Timbalan Presiden Kapten (B) Shahruddin Omar, Naib Presiden I Mejar (B) Sazali Ismail, Naib Presiden II Brig Jen (B) Datuk Muslim Yusof, Naib Presiden III Leftenan Komander (B) Jayah Said, Setiausaha Agung Leftenan Kolonel (B) Tajul Ariffin Chu Johari, Ketua Penerangan Datuk Roslee Jaamat dan Bendahari Kolonel (B) Meor Omar Baki Abd Latiph.

Kunjungan hormat kepada timbalan perdana menteri hari ini merupakan yang pertama setelah barisan exco PBTM mengambil alih jawatan dan perjumpaan kira-kira sejam itu antara lain membincangkan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara ini.

Sementara itu, Mohd Anwar berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin, sedia membantu dan membela nasib veteran ATM di negara ini. "Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan keprihatinan kerajaan. Akhir-akhir ini, banyak inisiatif telah diumumkan kerajaan. Nasib kami telah mendapat pembelaan.

"Mungkin ada isu-isu yang belum dapat diatasi tetapi kami akan meneruskan perjuangan untuk membela nasib semua veteran ATM di negara ini. Kami memahami kemampuan kerajaan setakat ini dan kami akan membawa (isu) satu persatu mengikut kemampuan kerajaan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Sementara itu, Mohd Anwar berkata dalam perjumpaan itu, PBTM menyatakan hasrat untuk menyatukan 61 organisasi veteran ATM yang didaftarkan di Malaysia. "Kami rasa, sebagai organisasi veteran tertua yang diwujudkan pada 1922, kami terpanggil untuk mengkoordinasikan dan mengetengahkan isu-isu sejagat yang sedang dialami semua veteran ATM di negara ini," katanya. PBTM juga, katanya, mahu kerajaan membantu merealisasikan impian veteran ATM

untuk memiliki minimum sebuah rumah. "Kami akan bekerjasama dengan kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk mencari pendekatan terbaik untuk membina rumah-rumah yang harganya lebih rendah daripada pasaran. 

"Kami akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kalau diberi tempat-tempat sesuai kami cuba bergabung dengan LTAT untuk meneruskan program pembinaan rumah," katanya. LTAT, katanya telah melaksanakan projek perumahan iaitu Taman LATA di Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang dibeli anggota yang sedang berkhidmat dan telahpun bersara.

Mengenai isu lain yang berhubung dengan kebajikan veteran ATM, beliau berkata PBTM akan bekerjasama dengan organisasi veteran ATM lain untuk membuat kajian terperinci sebelum memaklumkan kepada kerajaan.

 

Sumber : BERNAMA