KUCHING, 14 Mac- Veteran Angka­tan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini kini boleh men­jimatkan wang ringgit dan masa untuk berurusan dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) berikutan penubuhan Pusat Akses Veteran 1Malay­sia (PAV1M) di beberapa zon di seluruh negeri.

Pengarah JHEV Negeri Leftenan Kolonel Mon­day Juhid berkata, PAV1M yang merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Ketujuh telah ditubuhkan di empat lokasi negeri ini untuk menyediakan kemudahan kepada veteran dan juga ahli keluarga mereka.

“Fungsi PAV1M adalah pusat sehenti untuk mengu­ruskan masalah yang dihadapi veteran ATM kita.
“Ia telah ditubuhkan di Kem Pakit (Sri Aman), Kem Oya (Sibu), Kem Kuala Segan (Bintulu) dan Kem Sri Miri (Miri),” katanya.
Justeru, Monday berkata dengan penubuhan PAV1M, veteran di bahagian lain negeri ini tidak perlu lagi pergi jauh ke Kuching untuk berurusan dengan JHEV sekali gus menjimatkan masa dan kos perjalanan mereka.

Bagi memastikan keberke­sanannya, JHEV Sarawak semalam telah mengadakan taklimat khas bersama ang­gota dan pegawai tentera yang dilantik untuk men­guruskan perkhidmatan tersebut.

“Peranan asas PAV1M adalah untuk membantu JHEV melihat keperluan veteran kerana sebelum ini jabatan cuma mempunyai sebuah pejabat di Kuching yang berperanan memberi perkhidmatan di seluruh Sarawak.

“Maka, adalah sukar untuk kami menyediakan perkhid­matan yang efisien kepada veteran dan disebabkan itu kerajaan telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan pusat sehenti ini di beberapa kem tentera.
“Selepas ini, saya berharap setiap PAV1M ini akan dapat menjalankan peranan dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada vet­eran,” katanya.

Antara yang menghad­iri taklimat semalam ialah wakil dari Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Persatuan Veteran Tentera Malaysia Sarawak (PVTMS), Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen 1Malaysia (PVTTB1M) dan Persatuan Veteran Renjer Sarawak (PVRS).

 

Sumber : The Borneo Post