Logo JHEV

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedang merangka Pelan Induk Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjamin kebajikan golongan ini, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Hishammuddin berkata, pelan itu juga antara lain memberi tumpuan kepada usaha mentransformasi sosio-ekonomi serta menambah baik aspek kebajikan tanggungan mereka melalui pelan jangka panjang. Langkah ini, katanya, adalah usaha dan komitmen berterusan kerajaan dalam memberi pengiktirafan sewajarnya kepada veteran atas segala sumbang bakti dan pengorbanan dalam mempertahankan kedaulatan tanah air sepanjang perkhidmatan.

Beliau berkata, satu makmal anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) dengan kerjasama Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS) turut dilaksana pada 8 hingga 10 September lalu, bagi memperincikan kandungan blueprint ini. Makmal ini, katanya, membabitkan kehadiran peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta wakil-wakil Persatuan Veteran ATM yang utama. "Sebanyak 10 perkara dibincangkan dalam makmal ini iaitu berkaitan soal veteran tidak memiliki rumah sendiri; permohonan kenaikan bantuan sara hidup bulanan; pemberian bantuan kewangan khas (one-off)/ pemberian sara hidup bulanan. "Bantuan kemasukan anak ke IPT/ pusat latihan tentera; bantuan memulakan kerjaya kedua selepas menamatkan perkhidmatan; merapatkan jurang perbezaan pencen antara veteran terdahulu dan sekarang; mengkaji semula tempoh perkhidmatan berpencen bagi anggota ATM.

"Pemberian pencen terbitan berterusan kepada isteri yang dikahwini selepas menamatkan perkhidmatan; bantuan kebajikan dan perubatan dipanjangkan kepada bekas anggota tentera yang diberhentikan atas kesalahan tatatertib serta bantuan subsidi bagi bayaran bil elektrik dan air kepada Veteran ATM (berpencen atau tidak berpencen)," katanya dalam satu kenyataan. Sementara menunggu pelan induk itu dimuktamad, Hishammuddin berkata kementeriannya melalui JHEV terus berusaha keras menambahbaik bantuan kebajikan kepada Veteran ATM dan tanggunggannya. Antara yang dilakukan, katanya, termasuk membantu membina dan membaik pulih rumah veteran serta memperkasa bantuan kebajikan sara hidup veteran dan keluarga.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan juga turut melaksana Program Keluarga 1Malaysia iaitu membebaskan veteran ATM yang berpendapatan rendah daripada belenggu kemiskinan, sekali gus memperoleh pendapatan melalui usaha sendiri. "Manakala di bawah bantuan kebajikan sara hidup veteran ATM, Bantuan Sara Hidup Bulanan kepada Veteran dan Balu yang berada di bawah paras garis kemiskinan (PGK) terus dilaksanakan. "Tahun ini setakat Ogos lalu, seramai 182 penerima baru terdiri daripada 152 Veteran ATM dan 30 Balu Veteran sudah didaftarkan sebagai penerima Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 sebulan, menjadikan penerima keseluruhan bantuan sara hidup sehingga kini berjumlah 5,153 penerima," katanya.

 

Sumber : Berita Harian