Mersing, 29 Januari 2019 – YBhg. Mej Jen Dato’ Dzulkarnain bin Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM),  telah menyempurnakan penyerahan Bantuan Peralatan Pesakit dan program ziarah veteran ATM sekitar daerah Mersing, Johor. Selepas menyempurnakan penyerahan Bantuan Peralatan Pesakit, telah diadakan Sesi Bicara Ketua Pengarah JHEV ATM bersama wakil-wakil daripada persatuan veteran ATM sekitar negeri Johor dan juga Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Johor yang baharu.

 

Program penyerahan Bantuan Peralatan Pesakit kepada veteran ATM yang uzur iaitu En. Sulaiman bin Shupi (1067021) di Taman Seri Daik yang mengidap penyakit kencing manis yang mengakibatkan kaki beliau telah dipotong pada tahun 2016 serta telah hilang daya penglihatan, beliau hanya mampu mendengar dan bercakap sahaja. Veteran dijaga oleh isteri serta dua anak yang masih tinggal bersama. Semoga dengan penyerahan katil pesakit dan kerusi roda akan memudahkan penjagaan dan pergerakan beliau.

 

Dalam masa yang sama Ketua Pengarah JHEV ATM sempat meluangkan masa menziarahi dua orang veteran ATM iaitu En. Roslan bin Hassan (1085687) di Taman Intan Jaya yang mengalami kemalangan motosikal hingga menyebabkan kaki beliau telah dipotong dan program ziarah seterusnya ke rumah veteran ATM, En. Yunus bin Abdul Majid (6657) berumur 87 tahun yang uzur, mengalami sakit tua serta kurang pendengaran. Beliau tinggal di Kg. Sawah Dato bersama isteri dan dijaga oleh anak yang tinggal berhampiran.

 

Manakala penyerahan Bantuan Peralatan Pesakit berupa sebuah kerusi roda turut disampaikan kepada En. Muhammad bin Zakaria (1026732) di Balai Serbaguna Taman Sri Mersing di mana veteran ATM ini telah kehilangan kaki kanan berpunca daripada darah beku di dalam kaki akibat sakit gout yang dialaminya. Dikesempatan yang sama berlangsungnya Sesi Bicara Ketua Pengarah JHEV ATM bersama wakil-wakil daripada persatuan veteran ATM sekitar Mersing bertujuan untuk mendapatkan input daripada veteran ATM mengenai permasalahan yang timbul dalam menjaga kebajikan ahli dan persatuan, memberi penerangan kepada semua persatuan veteran ATM berkaitan hala tuju JHEV ATM dalam menjaga hal ehwal serta kebajikan veteran ATM, membentuk jaringan kerjasama strategik antara persatuan dan Jabatan serta melahirkan persatuan veteran yang dinamik.

 

Sempena kehadiran Ketua Pengarah JHEV ATM ke negeri Johor, juga telah diadakan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Johor yang baharu iaitu Mejar Hairi bin Muhamad bagi menggantikan Mejar Salman bin Sharif yang akan menghadiri kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia. Majlis turut dihadiri oleh para Pegawai JHEV ATM, Pegawai Daerah Mersing, Ketua Balai Polis Mersing, wakil persatuan sekitar negeri Johor dan veteran ATM sekitar Mersing.

LampiranSaiz
img_87581.jpg7.05 MB
img_88761.jpg7.32 MB