MUAR 16 Sept. - Kerajaan diminta mempertimbang permohonan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) untuk menaikkan pencen anggota tentera mengalami kecederaan semasa bertugas yang ketika ini hanya berjumlah RM150.

Seorang pesara tentera yang mengalami kecacaran kekal, Othman Lajis, 68, dari Sungai Abong, di sini berkata, jumlah pencen kecederaan itu amat sedikit dan tidak berbaloi walaupun turut menerima pencen persaraan RM412.50.

"Saya yang kehilangan tapak kaki akibat perangkap samar komunis, merayu supaya jumlah pencen kecederaan dinaikkan kepada kadar yang lebih sesuai mengikut perubahan semasa disebabkan peningkatan kos hidup kebelakangan ini.

"Walaupun begitu saya tetap bersyukur. Namun perlu diingat, pejuang terdahulu meninggal dunia atau cedera ketika menentang penjajah untuk mencapai kemerdekaan, tetapi generasi saya berjuang untuk mendapatkan keamanan yang dikecapi selama ini," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Pada Julai lalu, pihak PVATM bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan beberapa masalah veteran tentera bagi memastikan hak, kepentingan dan kebajikan ahli-ahlinya tidak terabai serta terus terbela.

Salah satu tuntutan tersebut ialah supaya pencen bagi veteran ATM yang mengalami kecacatan atau hilang upaya kekal dinaikkan kerana jumlah RM150 terlalu sedikit dan sudah terlalu lama tidak berubah.

Othman berkata, bukan niat dirinya dan mereka yang tercedera atau terkorban untuk mengungkit jasa dan sumbangannya selama ini tetapi jumlah pencen kecederaan wajar dinaikkan mengikut kadar yang munasabah.

"Ketika berjuta rakyat negara ini gembira menyambut Hari Malaysia hari ini dalam keadaan aman damai, tolonglah hargai jasa kami yang berjuang menentang pengganas Komunis hingga ada yang terbunuh dan cacat hingga sekarang," katanya.

Mengenai tragedi yang menimpanya, Othman berkata, kecacatan kekal tersebut dialaminya ketika menyertai Operasi Ko Tai Ko untuk melindungi kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) membina Lebuhraya Grik-Jeli, di Sungai Banding, Kedah, pada 3 September 1977.

Menurutnya, kejadian berlaku pukul 9 pagi ketika dia bersama 19 anggota tentera lain melakukan rondaan dan semasa melalui kawasan berbukit mereka dikejutkan dengan dentuman kuat lalu tercampak jauh dari tempat kejadian.

Sejak itu tidak lagi menyertai operasi sebaliknya diberikan kerja-kerja ringan sehingga bersara pada 1992.

 

Sumber : Utusan Malaysia