MUAR 17 Ogos 2014- Perdana Menteri bersetuju memberi dana RM1.5 juta dalam bentuk geran kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) bagi menjaga kepentingan dan kebajikan ahli-ahlinya mulai tahun ini.

Pengerusi PVATM, Laksamana (B) Tan Sri Anwar Mohd. Nor berkata, perkara tersebut dipersetujui Datuk Seri Najib Tun Razak setelah mendengar isu dan masalah veteran ATM yang dibangkitkan dalam satu pertemuan dengan pihaknya bulan lalu.

"Perdana Menteri bersetuju membantu kita. Antara masalah veteran ATM ialah tidak memiliki rumah sendiri kerana tidak mampu. Selain itu kita minta bantuan kos sara hidup yang diberikan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dinaikkan.

"Ini kerana jumlah diterima ketika ini rendah. Begitu juga dengan pencen bagi veteran ATM yang mengalami kecacatan atau hilang upaya kekal. Pencen yang diterima ketika ini hanya RM150 sebulan," katanya dalam majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PVATM dan Perasmian Bangunan Baharu PVATM Cawangan Muar, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Yang turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Noriah Mahat; Pegawai Daerah Muar, Muji Salimon dan Ketua PVATM Cawangan Muar, Shamsudin Rais.

Anwar berkata, perkara lain yang dibangkitkan ialah masalah veteran ATM yang dihentikan atas sebab disiplin dan tidak mendapat sebarang pembelaan sedangkan mereka turut berkhidmat dan berkorban untuk negara.

Katanya, masalah bantuan pendidikan anak veteran ATM untuk memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) juga diterima kerana sebelum ini mereka hanya menerima bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan veteran ATM dalam menjaga keamanan, kesejahteraan serta ketenteraman negara sehingga rakyat dapat hidup selesa kini.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mencuba formula baharu yang belum pernah diuji kerana tiga formula sedia ada untuk menguruskan kepelbagaian kaum terbukti berkesan dan berjaya dalam mengekalkan kemakmuran negara ini.

Formula pertama katanya, ialah berdasarkan kontrak sosial sedia ada manakala kedua pendekatan serta pelaksanaan prinsip-prinsip yang adil dan saksama antara kaum dan bukan berlandaskan prinsip kesamarataan.

"Jika kita menggunakan pendekatan kesamarataan untuk keadilan semua kaum, ini tidak adil kerana perbezaan dan masalah kaum di negara ini berbeza-beza. Kalau diberi sama rata, ini akan mengakibatkan ada kaum yang tercicir dan tertinggal," katanya.

 

Sumber : Utusan Malaysia