BATU PAHAT, 7 Sept 2014 - Sebuah syarikat yang mengusahakan perusahaan burung walet terbesar, Kumpulan Syarikat Swiftlet Eco Park akan mengembangkan perusahaan itu dalam kalangan masyarakat bagi memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang terbabit.

Pengurus Pembangunan Perniagaan syarikat itu, Rozita Yaakob berkata, untuk itu, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Hal-Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan GiatMara Sdn. Bhd., mengambil langkah proaktif dengan mempromosikan Program Pembangunan Usahawan Bumiputera (PPUB) di seluruh negara.

"Sebagai langkah permulaan, kami akan mengadakan siri jelajah untuk mempromosikan program tersebut di 11 lokasi yang diadakan secara berperingkat-peringkat.

"Langkah ini adalah susulan perjanjian persefahaman yang dimeterai antara JHEV, ditandatangani Februari lalu. Berikutan itu, lokasi pertama yang kami jelajah di negeri Johor yang meliputi tiga daerah Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program PPUB yang disertai 100 ahli JHEV dan 50 peserta GiatMara.

Siri jelajah berkenaan adalah yang kedua diadakan selepas Muar malam tadi dan diikuti di Johor Bahru pada malam ini.

Rozita berkata, program itu diadakan bagi menggalakkan kaum bumiputera melibatkan diri dalam industri burung walet yang begitu luas dan mempunyai potensi besar untuk berkembang.

Pada peringkat awal pihaknya menjangkakan kira-kira 10 peratus kaum bumiputera berkecimpung dalam bidang berkenaan dan peratusan itu dijangka meningkat hingga 30 peratus berikutan pendedahan dari segi latihan dan teknikal diberikan kepada usahawan terbabit.

"Kami penuh yakin usaha ini mendapat sambutan kerana berdasarkan penerokaan pasaran antarabangsa, khususnya di Dubai mereka inginkan produk burung walet yang diusahakan orang Islam dan terjamin status halal.

"Ini merupakan satu peluang yang cukup besar yang perlu direbut oleh usahawan bumiputera," katanya.

Rozita berkata, bagi menjayakan program itu, pihaknya mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta Bank Muamalat yang bersedia memberi dana kepada usahawan yang berminat.

Usahawan yang ingin mendapatkan keterangan lanjut tentang program itu boleh melayari laman web www.swiftecopark.com.my atau menghubungi talian 03-62570088.

 

Sumber : Utusan Malaysia