GERIK 30 Jun - Ketibaan Ramadan tahun ini paling bermakna buat seorang pesara tentera di Kampung Tawai dekat sini, Mohd. Lokman Rethuan,45, apabila dia menerima bantuan rumah semalam.

Rumah dengan keluasan kira-kira 65 meter persegi dengan kos RM45,000 itu merupakan bantuan di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan dibina secara gotong-royong oleh 16 anggota dari 1 Skuadron Rejimen Askar Jurutera (RAJD). Mohd. Lokman berkata, dia amat syukur kerana akhirnya memiliki kediaman baharu, apatah lagi pada Ramadan dan hari raya pada hujung bulan ini.

"Pendapatan saya sebagai pemandu di Pejabat Kesihatan Bahagian Pergigian Gerik tidak cukup untuk saya membeli kediaman baharu, menyebabkan kami tinggal menyewa. "Kerana pendapatan yang rendah, saya tidak pernah terfikir mampu memiliki rumah sendiri. Namun, bantuan ini mengubah hidup saya sekeluarga," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Upacara penyerahan kunci rumah disempurnakan Panglima 2 Briged, Brig. Jen. Muhammad Ab. Rahman. Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd. Tarmizi Idris; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) negeri, Leftenan Kol. Zainal Abidin Zainudin dan Pegawai Pemerintan 1 Skuadron Rejimen Askar, Kapten Mohd. Fadhil Hasan.

Mohd. Lokman telah berkhidmat sebagai Askar Wataniah (AW) selama 10 tahun lalu dan bersara pada 1995. Dia mempunyai seorang isteri, Norhaliza shaari 40, dan lima anak yang berumur antara lima hingga 20 tahun. Sementara itu, Muhammad berkata, Mohd. Lokman merupakan antara 14 bekas tentera di negeri ini yang layak menerima bantuan rumah baharu di bawah peruntukan tahun 2013.

Menurutnya, untuk tahun ini Rejimen Askar Jurutera baru sahaja diberikan tugas membina 11 rumah bekas tentera di negeri ini dan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas hari raya. "Bagi seluruh negara pula, Markas RAJD 2 Divisyen diberikan amanah membina sebanyak 100 rumah baharu manakala 100 rumah lagi akan menjalani proses baik pulih khas," katanya.

 

Sumber : Utusan Malaysia