KUCHING - Pesara tentera khususnya di Serian dipelawa mendaftar sebagai ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) bagi memudahkan persatuan mengesan dan menyalurkan bantuan kepada golongan tersebut.

Penasihat PBTM Cawangan Serian Acher Ahmad, 69, berkata, dengan menyertai persatuan nasib bekas anggota tentera dan keluarga dapat terus dibela dan diberi perhatian walaupun selepas mereka meninggal dunia.

Acher mendedahkan, daripada hampir 1,000 bekas anggota tentera di Serian, hanya separuh telah mendaftar menjadi ahli PBTM.

“Terdapat banyak manfaat dan faedah apabila menjadi ahli PBTM termasuk bantuan kepada keluarga setelah ahli meninggal dunia, insentif apabila anak-anak cemerlang dalam pelajaran dan banyak lagi.

“Oleh itu, bagi bekas anggota yang belum mendaftar sebagai ahli daftarlah segera kerana ia untuk kebaikan kita sendiri,” katanya kepada pemberita semalam.

Pernah menjadi pengerusi PBTM Cawangan Serian selama 12 tahun dan penasihat tiga tahun, beliau berharap tiada pesara tentera memencilkan diri selepas berkhidmat.

Malah, beliau berpendapat selain berpersatuan, pesara tentera boleh menceburi pelbagai bidang seperti keusahawanan dan perniagaan.

“Bagi saya sendiri, selepas bersara pada tahun 1976, saya menceburkan diri dalam perniagaan dan melalui bantuan MARA saya kini telah memiliki kedai di Serian.

“Syukur dengan rezeki yang ada, saya perluaskan lagi perniagaan dengan menyediakan khidmat pembinaan dan kontraktor,” jelasnya.

Dalam pada itu, Acher memaklumkan bahawa beliau kini turut terlibat sebagai stokis apabila terpilih menjadi satu-satunya stokis produk kopi Al Jannah Mahkota Dewa (AJGM) di pekan Serian.

“Paling penting adalah usaha ingin mengubah kehidupan untuk keluarga walaupun telah bersara,” kata bapa kepada lima anak ini.

Menurutnya, beliau bersama produk AJGM kini sedang dalam program untuk melebarkan sayap ke Betong, Sri Aman, Saratok dan Kabong.

 

Sumber : The  Borneo Post